HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Mei 2008

"Tubuh Suruhanjaya Diraja" Bersih
Faisal Mustaffa


GABUNGAN Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pada 30 April 2008 suatu yang memalukan.

Tan Sri Abdul Rashid mengatakan bahawa pilihanraya 2008 pilihanraya terbaik yang pada masa yang sama pilihanraya itu dipenuhi dengan kepincangan.

Sekiranya Tan Sri Rashid yakin terhadap kenyataannya, BERSIH mencabar beliau untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja Terhadap Reformasi Pilihanraya (RCER) bagi menyiasat penipuan dan kepincangan pada proses pengundian 2008. BERSIH juga mencabar agar diwujudkan suruhanjaya bebas untuk mengkaji senarai komprehensif dalam keperluan menjalankan reformasi.

Bahkan Rashid sendiri telah memanggil panel bebas untuk mengkaji reformasi pilihanraya pada awal 2007.

BERSIH yang mengeluarkan kenyataannya hari ini mengecam keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal empat hari sebelum pengundian diadakan. Tindakan ini dianggap sebagai suatu yang tidak professional dan memalukan kerana ia membenarkan pengundian berganda oleh pihak ketiga.

"Memandangkan kemenangan Barisan Nasional (BN) amat tipis sehingga pihak pembangkang boleh membentuk kerajaan sekiranya mereka memenangi tambahan 56,822 undi di kerusi-kerusi BN terlemah dengan pembatalan beberapa arahan di bawah kerajaan BN," jelas kenyataan itu.

Menurut BERSIH lagi, sekiranya pembatalan dakwat kekal diakibatkan daripada kekangan perlembagaan dan undang-undang, maka Tan Sri Rashid sepatutnya meletak jawatan dan bertanggungjawab dalam hal sedemikian.

BERSIH juga mempersoalkan tindakan SPR yang tidak mengusulkan sebarang pindaan yang sesuai kepada perlembagaan dan undang-undang dalam masa enam bulan sebelum pembubaran parlimen selepas Majlis Fatwa Kebangsaan telah pun meluluskan penggunaan dakwat kekal pada Ogos.

BERSIH menekankan bahawa SPR bukan hanya gagal untuk melaksanakan dakwat kekal seperti yang dituntut oleh BERSIH. Selain itu, BERSIH juga menuntut pembersihan senarai pemilih, pemansuhan undi pos untuk anggota keselamatan, tempoh kempen 21 hari dan akses media adil. Kesemuanya tidak dilaksanakan.

Tiada ulasan: