Cuepacs mohon kerajaan kaji semula kadar Cola
KUANTAN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mengkaji semula kadar Elaun Kos Sara Hidup (Cola) berikutan kenaikan harga minyak dan barangan baru-baru ini.
Presidennya Omar Osman berkata kadar Cola yang ditentukan berdasarkan lokasi bekerja pada masa ini tidak lagi relevan kerana pekerja sektor awam yang tinggal di kawasan luar bandar juga perlu membayar harga yang sama bagi membeli petrol sepertimana di kawasan bandar.
"Contohnya di Kuala Lumpur, Cola yang ditetapkan ialah RM300, sementara di daerah-daerah ialah RM150 dan jumlah ini tidak lagi relevan memandangkan harga bahan api yang meningkat hampir 40 peratus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-15 Kesatuan Kebangsaan PekerjaPekerja Perubatan dan Kesihatan Pahang di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Beliau berkata kenaikan gaji kakitangan awam sebelum ini yang hanya sehingga 35 peratus tidak akan mampu menanggung beban tersebut.
Sehubungan itu, katanya Cuepacs akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya menyelaras semula Cola kepada satu jumlah yang sama tanpa mengira lokasi bekerja atau menaikkan elaun tersebut.
Beliau berkata Cuepacs juga akan memohon kerajaan agar mempertimbangkan elaun khas untuk pekerja yang terpaksa bekerja pada waktu malam sebagai dorongan kepada mereka memandangkan waktu bekerja yang berbeza daripada pekerja lain.
Katanya, pekerja terbabit memerlukan tumpuan kosentrasi yang tinggi untuk bekerja sehingga menyebabkan ada di antara mereka yang mengalami tekanan.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua cadangan tersebut akan dikemukakan terlebih dahulu kepada ahli untuk persetujuan pada mesyuarat kongres yang dijadual pada 28 Jun ini.
"Kita juga akan membincangkan sama ada untuk menerima atau menolak cadangan kerajaan bagi pembayaran gaji dua kali sebulan," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan