Halaman

Sabtu, 14 Jun 2008

Saman jika buat tuduhan palsu: Dr Khir
Sinar Harian.

SHAH ALAM - Silakan buat tuduhan palsu atau bersedia kena dihadapkan ke mahkamah.

Begitulah amaran yang diberikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kepada mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat (PR) atau individu yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap kepimpinan terdahulu dalam kempen atau ceramah politik mereka.

Menurutnya, satu pasukan peguam sukarela telah dibentuk sejak sebulan lalu untuk memantau aktiviti ceramah politik yang diadakan pemimpin PR kerana beliau tidak mahu pemikiran rakyat disogok dengan cerita-cerita yang tidak benar.

“Bukti-bukti tuduhan palsu yang dilemparkan pemimpin PR itu sudah mula dikumpulkan sejak sebulan yang lalu oleh sepasukan peguam yang dibentuk khas bagi memantau tindakan tidak beretika berkenaan yang kebanyakannya wujud semasa sesi ceramah politik kepada orang ramai," kata beliau.

Menurutnya, setakat ini pasukan peguam berkenaan sudah mengumpul tiga isu serta gambar bukti bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melemparkan tuduhan palsu tanpa sebarang bukti kukuh.

“Mereka tuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu rasuah dan sebagainya. Bagaimanapun sehingga kini kita lihat tiada sebarang laporan dibuat dan tindakan diambil terhadap orang yang dituduh.

“Tindakan saman ini dibuat untuk memberikan pengajaran kepada mereka supaya tidak lagi membuat tuduhan palsu yang dilihat mencemarkan imej kita," katanya.

Tambah beliau lagi, tuduhan sebelum ini bahawa beliau mempunyai 'Pena Sakti' untuk meluluskan sebarang projek adalah tidak benar kerana setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan cadangan pegawai kerajaan yang bertanggung jawab dalam bidang tertentu.

“Umpama kos sesuatu projek diberi oleh jabatan teknikal, mereka terlibat dalam ukur bahan yang terdiri daripada kumpulan profesional, saya tidak benarkan ahli politik campur untuk tentukan harga kerana semua projek dilaksanakan dengan kajian yang teliti.

“Malah sepanjang tempoh lapan tahun kita memerintah tidak berlaku penyelewengan, kita juga tidak meletak pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) di pejabat Menteri Besar kerana setiap kali berlaku keraguan contohnya dalam pengagihan tanah dan tender kita minta BPR siasat mereka yang terlibat," katanya.

Mengulas mengenai pemberian air percuma bermula Isnin ini, Dr Khir yang juga ketua pembangkang di negeri itu berkata, kejayaan pemberian 20 meter padu air percuma kepada rakyat Selangor ialah kejayaan kerajaan BN kerana telah memberi tekanan kepada pimpinan kerajaan negeri untuk melaksanakan janji manifesto itu.

Bagaimanapun katanya, matlamat pemberian air percuma itu tidak mencapai matlamat kerana ia tidak dinikmati oleh penduduk yang tinggal di rumah flat dan apartmen yang merupakan golongan yang paling memerlukan air percuma.

“Saya harap mereka yang menggunakan meter pukal ini dapat mendesak kerajaan negeri untuk mengambil tindakan sama untuk memberikan air percuma melalui kaedah yang bersesuaian.

“Sebab itu saya tegur kerajaan negeri dua bulan lalu supaya mencari mekanisme sesuai untuk berikan rebat kepada rumah flat dan rumah bertingkat yang menggunakan meter pukal, kalau nak tunggu migrasi meter pukal ke individu pasti memakan masa yang lama," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.