Halaman

Sabtu, 14 Jun 2008

Tubuh segera jawatankuasa khas selesai masalah peneroka
Harakahdaily

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menggesa Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Luar Bandar dan Kerajaan Selangor menubuhkan Jawatankuasa Khas menyelesaikan masalah pampasan yang dituntut peneroka di Felda Sungai Buaya,Hulu Selangor.

Menurut beliau, projek Bandar Baru Sungai Buaya dibuat atas tanah peneroka seluas 3,100 ekar menjanjikan pampasan lebih kurang RM1 juta kepada setiap peneroka.

"Pampasan itu tidak termasuk pampasan dalam bentuk rumah dan dividen yang lain," katanya setelah mengadakan perbincangan dengan peneroka di Felda Sungai Buaya, malam Ahad lalu.

Beliau kesal kerana hingga sekarang peneroka mendapat tidak lebih daripada RM250,000 dalam bentuk tunai dan rumah kediaman.

Bagaimanapun katanya, sejak tahun 2003 baki pampasan tidak diterima walaupun segala usaha seperti penyerahan memorandum, laporan polis, khidmat guaman, berunding dengan pemaju dan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor (ketika itu).

"Lebih mengecewakan pemaju dan kerajaan BN ketika itu bersikap lepas tangan dalam menangani isu berkenaan, hingga sebahagian besar peneroka telah meninggal dunia," katanya.

Ditambah pula dengan pendapatan mereka hasil menoreh getah sekitar RM200 hingga RM350 sebulan kehidupan masyarakat peneroka di situ amat menyedihkan, jelasnya.

Beliau menegaskan, matlamat Allahyarham Tun Abdul Razak yang menggagaskan Felda demi kejayaan orang Melayu tidak menjadi kenyataaan dalam konteks Felda Sungai Buaya.

Menurut beliau, jika semua pihak sibuk bercakap soal ketuanan Melayu dan benar-benar mahu menjadi pembela bangsa buktikan kepada peneroka Felda Sungai Buaya yang sudah lebih 13 tahun menajdi mangsa kerakusan dan kezaliman BN.

Felda Sungai Buaya dibuka pada tahun 1964 dengan jumlah peneroka seramai 363 orang dan pendapatan mereka hanya memotong getah.

Kawasan berkenaan dimajukan oleh sebuah syarikat yang mewakili kepentingan peneroka Felda iaitu Murna Jaya Development Bhd sejak 1994 iaitu ketika Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Melalui mesyuarat exco pada Mac 1994 kerajaan negeri ketika itu telah meluluskan penukaran syarat Akta GSA 1960 bagi membolehkan pemaju membangunkan Felda berkenaan.
- mns/mks. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.