Selangor "Mini Patpong"?
Roslan SMS
Saya sedih tetapi tidak terperanjat melihatkan laporan khas di buletin utama TV3 malam tadi yang menyiarkan berleluasanya aktiviti rumah urut di negeri Selangor sehingga menerima jolokkan "Mini Patpong", iaitu suatu daerah di Thailand yang berselerakkan dengan rumah-rumah maksiat seumpama ini.
TV3 menyiarkan aktiviti disekitar Selayang dengan menemuramah beberapa peniaga kecil tempatan yang perniagaan mereka berhampiran dengan rumah-rumah urut berkenaan. Mereka mendakwa bahawa aktiviti di rumah-rumah urut ini bukannya urut biasa atau refleksologi semata-mata malah sebenarnya menawarkan khidmat seks dengan gadis-gadis yang didatang dari Negara Cina dan Thailand. Dan menurut laporan itu juga kegiatan seperti ini tidak terhad di Selayang sahaja malah juga di kawasan-kawasan lain termasuklah Subang Jaya.
Dua isu di sini adalah pertama, jenis lesen apakah yang diberikan oleh PBT-PBT berkenaan kepada rumah-rumah urut ini, adakah untuk khidmat urut badan dan refleksologi, dan jika demikian apakah syarat-syarat dan had-hadnya, adakah pengurutnya perlu anak tempatan atau bolehkah warga asing dan adakah pengurut tadi dibenarkan berpakaian seksi, bertuala dan berdua-duaan dengan yang diurutnya dalam bilik, atau bagaimana? Adakah memang menjadi amalan membenarkan wanita mengurut lelaki tanpa syarat sebegitu?
Keduanya berapa banyakkah permintaan terhadap rumah urut ini sehingga begitu banyak lesen dikeluarkan oleh pihak PBT. Saya akui di Subang Jaya sahaja jarak antara satu rumu urut dengan yang lain begitu hampir sekali seolah-olah penduduk di sini benar-benar ketagih dengan urutan seumpama ini! Amalan dan budaya bangsa manakah urut-urutan seperti ini sehingga kita begitu ghairah sekali mengizinkannya dan memberi lesen?
Saya masih ingat pada bulan Januari 2007 dulu semasa BN memerintah Selangor kerajaan negeri pernah melancarkan operasi membenteras kegiatan maksiat dan aktiviti tidak bermoral di rumah-rumah urut, sehingga mengarahakan pihak PBT tidak lagi mengeluarkan lesen seumpama ini, tetapi sekarang kerajaan sudah bertukar-tangan dan saya pasti lesennya bukan setakat dibekukan malah semakin banyak dikeluarkan!
Kita perlu membuat kesimpulan apa jenis perkhidmatan urut yang kerajaan Pakatan Rakyat Selangor izinkan dan beri kuasa kepada pihak PBT mengeluarkan permit. Kerajaan PR Selangor ini turut diwakili oleh Parti Islam Se Malaysia (PAS), dan saya yakin di Kelantan yang PAS perintah sejak tahun 1990 rumah urut seperti di Selangor ini tidak dibenarkan.
Mungkin kita boleh beri pengecualian terhadap khidmat urut tertentu, antaranya yang berkaitan wanita baru bersalin, bagi tujuan kesihatan, khidmat yang diberikan oleh mereka yang cacat penglihatan, refleksologi, tetapi semua aktiviti berkenaan mestilah dijalankan secara terbuka, tanpa bilik, penghadang atau cermin gelap dan lampu malap. Ianya mesti diperuntukkan dizon-zon tertentu dan sepatutnya tidak dibenarkan beroperasi sehingga lewat malam. Memadailah pada waktu pejabat dan kalau lebih pun sampai jam 6 petang.
Bagaimana dengan pengurutnya? Pihak kerajaan atau PBT perlulah mensyaratkan yang mereka ini mesti telah menjalani latihan tertentu, atau lulus syarat tertentu, dan pastikan gadis-gadis genit tidak menjadi tukang urut. Untuk umat Islam memang sepatutnya ia diharamkan kecuali lelaki mengurut lelaki atau wanita mengurut wanita (pihak berkuasa agama perlu pantau jangan sampai disalahguna oleh golongan gay yang dikutuk oleh Islam itu).
Saya pernah menulis berkenaan isu ini beberapa minggu yang lalu, nampaknya ia timbul kembali tanpa ada jalan penyelesaian. PR bukan BN, dan rakyat mengharapkan PR lebih baik dari BN, jangan persiakan harapan rakyat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.