HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Julai 2008

Bakal haji perlu jaga kesihatan
Sinar Harian

BANDAR TUN RAZAK - Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan bakal haji negeri ini supaya menjaga kesihatan ketika berada di tanah suci Mekah.

Beliau berkata, kesihatan penting bagi memastikan mereka dapat menunaikan haji dengan sempurna tanpa sebarang masalah.

“Kesihatan diri adalah penting dan perlu dijaga supaya tidak berlaku perkara tidak diingini sepanjang berada di sana dan mereka juga diingatkan agar tidak membawa wang yang banyak kerana bimbang kemungkinan lain pula berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Haji Madrasah Makamul Akhlak di sini, semalam.

Setiap tahun madrasah itu akan menganjurkan kursus bagi persediaan bakal haji menjalankan ibadah mereka.

Pada majlis itu juga beliau menyumbangkan kain ihram dan telekung untuk kegunaan bakal haji lelaki dan perempuan.

Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor berkata, cara terbaik untuk memastikan keadaan selamat sepanjang berada di Mekah ialah sentiasa bantu membantu antara satu sama lain.

Sementara itu, Pengerusi yang juga Imam Madrasah Makamul Akhlak, Bhari Md Amin berkata, daripada 60 yang layak menunaikan haji di Mekah tahun ini, 20 daripadanya terpilih mengikuti kursus berkenaan.

Kursus itu juga katanya, mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyumbangkan perkhidmatan percuma pengendalian kursus itu.

“Madrasah ini pernah memenangi Anugerah Surau Terbaik pada 2005 di bawah pemilihan Jawi,” katanya.

Tiada ulasan: