HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Julai 2008

Tempoh luput topi keledar cuma lima tahun?


IPOH: Topi keledar akan ditetapkan tarikh luput penggunaannya selama lima tahun, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh.

Beliau berkata, JKJR sedang berbincang dengan syarikat-syarikat pengeluar topi keledar untuk memperkenalkan tarikh luput lima tahun topi keledar mulai tahun ini.

Katanya, topi keledar yang terlalu lama digunakan adalah tidak selamat kerana daripada segi luaran kelihatan sesebuah topi keledar itu masih boleh digunakan tetapi akibat daripada perubahan cuaca dan sebagainya bahagian dalaman mungkin telah rosak.

"Adalah menjadi tanggungjawab JKJR untuk menukar persepsi masyarakat kepada keperluan topi keledar yang mampu menyelamatkan nyawa apabila berlaku kemalangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Rakan Keselamatan Jalan Raya (KJR) dan penggalakan pemakaian topi keledar dengan sempurna peringkat negeri Perak di Kampung Manjoi di sini hari ini.

Suret Singh berkata, kebanyakan pengguna motosikal di negara ini kurang peka kepada risiko yang dihadapi akibat penggunaan topi keledar lama.

Statistik kemalangan membabitkan motosikal mendapati 68 peratus daripada 3,963 penunggang motosikal yang maut akibat kemalangan jalan raya adalah berpunca dari kecederaan parah di kepala, katanya.

Beliau berkata usaha menyedarkan pengguna motosikal tentang bahaya akibat daripada kesilapan penggunaan topi keledar perlu dipertingkatkan.

"Ramai antara mereka yang menggunakan topi keledar hanya kerana tidak mahu dikenakan tindakan saman oleh pihak polis tanpa memikirkan kesan yang dihadapi sekiranya terlibat dalam kemalangan," ujar beliau.

Sementara itu mengenai program ''Tiada Hari Tanpa Advokasi'' yang bertujuan mempertingkatkan kempen kesedaran pemakaian topi keledar dan kegunaannya dengan betul, Suret Singh berkata JKJR akan menjalankan kempen penerangan di semua plaza tol Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUs) setiap hari.

Beliau berkata Rakan KJR dengan bantuan PLUS dan polis akan menyampaikan menyampaikan maklumat berkenaan pada sebelah pagi dan petang di plazaplaza tol berkenaan. BERNAMA

Tiada ulasan: