UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - "Saya sudah bulat hati dan nekad untuk bercerai walaupun dia (Norman Hakim) datang pujuk."
Demikian luahan pelakon popular, Abby Abadi atau nama sebenarnya, Arbaeyah Abdul Manan, 29, ketika diwawancara dalam program Wanita Hari Ini yang disiarkan secara langsung di TV3 tengah hari ini.
Abby yang kelihatan tenang menyatakan bahawa sudah tidak nampak jalan penyelesaian terbaik untuk dia dan suaminya pelakon Mohamed Norhakim Zaidon, 32, atau Norman Hakim selain penceraian.
"Saya tak nampak yang dia masih memerlukan saya. Kalau saya masih bergelar isterinya pun saya memang tidak nampak.
"Insya-Allah, saya dapat jaga anak-anak saya selepas ini dan (Norman) teruskanlah hasrat untuk bersama dengan dia (Memey Suhaiza)," kata Abby meluahkan rasa hatinya.
Menurut Abby, ketika perceraian pertama kalinya dahulu dia masih lagi memikirkan tentang suami dan anak-anaknya, tetapi kali ini dia harus lebih memikirkan tentang dirinya sendiri.
Abby dan Norman sebelum ini pernah bercerai tetapi mengambil keputusan untuk rujuk semula pada 11 Mei 2006.
Biarpun dilanda pelbagai dugaan berhubung krisis rumah tangga, Abby berkata, kehidupannya kini masih dalam keadaan baik.
"Alhamdulillah, saya melahirkan dan berpantang dengan elok dan tentang orang kata meroyan tu tak ada sebab, saya rasa saya kuat," jelasnya.
Isnin lalu, Abby ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur untuk memfailkan tuntutan penceraian, bagaimanapun dia gagal berbuat demikian kerana tidak menyediakan dokumen yang lengkap.
Sejurus selepas meninggalkan mahkamah itu, Abby bertindak nekad ke lokasi pengambaran drama bersiri Gerak Khas di Wangsa Maju untuk bersemuka dengan suaminya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
Menyesali tindakannya yang penuh emosi, Abby turut memohon maaf kepada seluruh rakyat atas keterlanjuran itu.
"Saya tidak dapat kawal emosi ketika itu, bila lepaskan kemarahan depan orang memang saya rasa malu. Jadi, saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia tentang hal itu," katanya.
Menerusi perkahwinan yang berusia enam tahun itu, Abby dan Norman dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohd. Danish Hakim, 5, Marisa Dania Hakim, 4, dan Maria Danisha Hakim, 48 hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.