UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia semakin merasai beban krisis kewangan global apabila kajian menunjukkan 68 peratus pengguna menyatakan ekonomi negara sedang merosot dan keyakinan kini berada di paras terendah.
"Orang ramai bimbang tentang iklim ekonomi apabila Indeks Keyakinan Pengguna Malaysia jatuh ke paras rendah 88 mata dalam kaji selidik terbaru, tinggi sedikit berbanding purata sejagat sebanyak 84 mata, tetapi kurang sembilan mata daripada separuh pertama 2008," kata Pengarah Urusan Nielsen Company Malaysia, Paul Richmond.
Kajian Keyakinan Pengguna Global Nielsen, yang dijalankan dua kali setahun meninjau pandangan 26,202 pengguna dalam 52 negara di tengah-tengah krisis kewangan global dengan 500 rakyat Malaysia di semua peringkat umur telah ditemubual daripada 23 September hingga 6 Oktober 2008 mengenai tahap keyakinan mereka dan tinjauan ekonomi sejak kali terakhir kaji selidik diadakan pada Mei 2008.
Richmond berkata, dalam kajian itu, pengguna telah ditanya bagaimana mereka akan membelanjakan lebihan wang tunai selepas memenuhi keperluan harian, kira-kira 67 peratus menyatakan mereka menyimpan wang untuk masa sempit. Baki 46 peratus lagi akan membayar hutang kad kredit dan pinjaman mereka.
Lebih menghairankan kata beliau, dalam tempoh sukar, satu pertiga daripada rakyat Malaysia masih mahu pergi bercuti manakala kira-kira 30 peratus bercadang melabur dalam pasaran saham atau saham amanah mungkin melihat peluang baik untuk membeli saham murah.
Mengulas kebimbangan utama yang ada dalam kajian bagi tempoh enam bulan akan datang, katanya, sebanyak 43 peratus menyatakan kebimbangan terhadap ekonomi diikuti kestabilan politik (32 peratus) dan kenaikan harga makanan (18 peratus).
Beliau juga menyatakan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kestabilan politik juga mengatasi negara lain di Asia Pasifik ketika ini dan menunjukkan perbezaan ketara terhadap keputusan separuh pertama kaji selidik pada Mei lalu, yang menyaksikan kadar inflasi (58 peratus), keselamatan diri dan kadar jenayah (52 peratus) dan harga bahan api atau minyak (45 peratus) sebagai tiga kebimbangan tertinggi mereka.
Hampir separuh bersetuju bahawa pekerjaan mereka dan prospek kewangan tidak begitu memberangsangkan dalam tempoh 12 bulan - menunjukkan dengan jelas bahawa perbelanjaan yang melampau tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat.
Hasil kaji selidik mendapati lima cara teratas rakyat Malaysia membendung kenaikan kos termasuk mengurangkan perbelanjaan pakaian baru (62 peratus) mengurangkan kos hiburan di luar rumah (57 peratus), menjimatkan gas dan elektrik (54 peratus), menangguhkan pembelian perkakasan teknologi terbaru seperti telefon mudah alih dan komputer peribadi (49 peratus), dan beralih kepada barangan runcit yang berjenama murah (43 peratus).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.