Halaman

Rabu, 10 Disember 2008

Ejen hartanah haram: 7,000 dijangka gulung tikar

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA - Seramai 7,000 ejen hartanah berlesen kini berdepan dengan risiko 'gulung tikar' berikutan berleluasanya kegiatan ejen-ejen yang tidak berlesen dan tidak berkelayakan.

Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), K. Soma Sundram berkata, pihaknya mengesan ramai di kalangan mereka yang mendakwa diri sebagai perunding menjalankan perkhidmatan secara haram setelah menimba pengalaman daripada ejen-ejen berlesen.

Beliau mendakwa, setelah mendapat pengalaman, golongan ini menjadi tamak dan menjalankan perkhidmatan secara perseorangan.

Soma Sundram berkata, kegiatan haram itu sudah lama dijalankan di negara ini tetapi terus gagal dikawal kerana bilangan mereka terlalu ramai.

Beliau mendakwa aktiviti yang dijalankan oleh ejen-ejen haram ini membuka peluang kepada berlakunya kejadian penipuan berbanding urusan melalui ahli-ahli yang berlesen dan lebih berkemahiran.

"Kami merayu kepada kerajaan supaya bertindak segera dan mengambil tindakan kepada para ejen hartanah haram ini.

"Kami juga sudah menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri dan Parlimen tahun lalu dan sehingga kini masih tidak mendapat sebarang jawapan.

"Jika tiada sebarang tindakan, perniagaan ejen-ejen hartanah berlesen bakal berkubur dan periuk nasi mereka akan terjejas,'' katanya selepas menghadiri majlis perasmian ibu pejabat MIEA di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Robert Lau Hoi Chew.

MIEA sehingga kini mempunyai 7,000 ahli dan kebanyakan daripada mereka menjalankan perkhidmatan di Lembah Klang.

Selain Lembah Klang, MIEA turut mempunyai pejabat cawangan di Pulau Pinang, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak.

Menurut Soma Sundram, pihaknya turut berhasrat untuk membuka dua buah cawangan MIEA dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, MIEA merancang untuk mewujudkan buku hitam bagi penyewa dengan rekod buruk.

Beliau berkata, melalui buku hitam itu, para ejen hartanah dapat memastikan nama-nama penyewa yang pernah mempunyai rekod buruk dalam sewaan bilik atau bangunan.

Pihaknya juga dalam perancangan untuk memperkenalkan program peperiksaan bagi perunding cara yang berminat untuk menyertai bidang penjualan hartanah.

"Mereka yang menyertai program tersebut perlu menghadiri latihan 20 hingga 30 jam sebelum menduduki peperiksaan.

"Dengan program terbaru ini, kami berharap ia dapat mewujudkan persaingan di kalangan penjual-penjual hartanah yang dapat menyokong ejen hartanah,'' ujarnya.

Ketika ditanya mengenai perniagaan para ahlinya pada waktu ekonomi yang dijangka perlahan tahun depan, Soma Sundram memberitahu, pihaknya perlu lebih berhati-hati dan memerlukan kerjasama erat daripada pihak pemaju.

Beliau berkata, sehingga kini, kebanyakan pemaju hartanah tidak menggunakan khidmat ejen hartanah dan ia memberi kesan terhadap perniagaan ahli-ahlinya.

MIEA turut menjangka perniagaan ahli-ahlinya dapat ditingkatkan lagi berikutan pembelian ruang pejabat barunya di sini.

Ibu Pejabat baru MIEA dengan keluasan 2,213 kaki persegi itu mempunyai nilai pasaran semasa RM1 juta, telah dibeli pada harga RM695,000 sebelum siap diubahsuai serta diduduki pada 20 Oktober lalu.

Soma Sundram berkata, bangunan itu terletak di lokasi lebih strategik dan mudah diakses oleh para pelanggan dan ahli-ahlinya yang berada di Lembah Klang.

Katanya, ibu pejabat lamanya di Damansara Utama terletak di bangunan berusia lebih 50 tahun dan ia adalah disewa.

"Setelah sekian lama menyewa bangunan di sebuah bangunan lama di Damansara Utama, kami kini maju selangkah lagi dengan membeli premis di tingkat lima Dataran 3 Dua di Petaling Jaya,'' kata Soma Sundram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.