Halaman

Rabu, 10 Disember 2008

Larang projek di cerun bukit dikuatkuasa sejak mentadbir Selangor

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Selangor melarang projek pembangunan cerun bukit kelas tiga dan ia merupakan antara polisi awal yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat setelah mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan BN.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan setakat ini terdapat 90 projek yang melibatkan pembangunan di cerun bukit yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu BN.

Beliau menegaskan kerajaan negeri akan sentiasa memantau projek itu dengan teliti supaya syarikat pemaju dapat memenuhi semua syarat bagi memastikan rumah yang akan diduduki selamat.

Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan setiap syarikat perumahan memberi laporan bulanan berkaitan setiap projek yang dijalankan.

Perlu ditegaskan disini katanya, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengkaji semula mana-mana projek jika didapati ada bukti bahawa alam sekitar dan keselamatan penduduk disekitar telah terancam akibat projek.

"Projek-projek di kawasan sensitif kepada bencana tanah runtuh akan diberi syarat-syarat yang lebih ketat," tegasnya.

Menurut beliau, kerajaan Negeri berharap semua pihak terutama syarikat perumahan swasta akan bersama-sama dalam hal ini kerana banyak aduan yang telah diterima dimana terdapat beberapa syarikat swasta yang telah mengabaikan tanggungjawab menjaga dan memelihara cerun bukit di kawasan perumahan yang telah dibangunkan.

Beliau menegaskan sebagai langkah pro-aktif, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak menyenarai hitam syarikat yang lalai menjalankan tanggungjawab mereka.

Oleh kerana bukan hanya cerun bukit yang sensitif kepada kejadian tanah runtuh, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Jabatan Pengaliran Sungai (JPS) mengetatkan penguatkuasaan sungai dikawasan hutan simpan bagi mengelakkan bencana alam yang boleh mengancam keselamatan penduduk.

Justeru beliau menyeru semua pihak samada syarikat perumahan atau individu berhubung risiko pembangunan lereng bukit yang perlu diambil kira dalam membuat keputusan membina atau menghuni rumah-rumah dilereng bukit.

Beliau sedih dengan tragedi empat nyawa terkorban dan 14 banglo ranap dan mengingatkan semua pihak supaya mengambil ikhtibar daripada kejadian tersebut tentang pentingnya pemantauan terhadap pembangunan perumahan di cerun bukit.

Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.

Sejak tragedi tersebut kerajaan Negeri telah menyediakan penempatan sementara di sekolah kebangsaan Hulu Klang dan sekolah menengah kebangsaan Malawati serta memastikan segala kelengkapan bantuan asas seperti selimut, tilam, pakaian dan makanan telah disediakan.

"Kerajaan akan sentiasa memantau keadaan di penempatan semula bagi memastikan semua berjalan lancar," tegas beliau. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.