BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri merancang melaksanakan projek pembangunan bernilai RM5.8 juta di Kuala Terengganu sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat untuk menerajui kawasan itu pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan ini.
Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, peruntukan tersebut meliputi RM2 juta untuk projek membaiki longkang dan jalan raya yang rosak manakala RM3.8 juta lagi untuk projek-projek kecil di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
"Sukar untuk kerajaan meneruskan agenda pembangunan jika sekiranya Parlimen Kuala Terengganu jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya kecil nanti.
"Lihat sahaja (kawasan) DUN (Dewan Undangan Negeri) Wakaf Mempelam yang agak ketinggalan dari segi pembangunan berbanding kawasan-kawasan lain dalam Parlimen Kuala Terenganu. Ini kerana wakil rakyatnya dari parti pembangkang, dan beliau tidak dapat membangunkan kawasan itu kerana bukan dari parti pemerintah," katanya.
Kerajaan negeri juga bersedia untuk menambah peruntukan pembangunan untuk penduduk Kuala Terengganu jika sekiranya menang dalam pilihan raya itu nanti, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri juga merancang menjadikan Bandaraya Kuala Terengganu sebagai daerah pelancongan bagi menarik lebih ramai pelabur luar yang akan memberi peluang kepada penduduk memajukan lagi ekonomi mereka.
Sementara itu calon BN untuk pilihan raya kecil itu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata beliau bersedia untuk menjadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan negeri dan kerajaan pusat jika diberi peluang menjadi wakil rakyat nanti.
Katanya, masih banyak projek pembangunan yang dirancang oleh penyandang sebelum ini Allahyarham Datuk Razali Ismail yang masih belum diselesaikan dan dilaksanakan.
"Jika diberi peluang untuk menjadi jambatan, saya akan pastikan suara- suara rakyat di Kuala Terengganu didengari oleh bukan sahaja kerajaan negeri tetapi juga kerajaan pusat.
"Malah sejak diumumkan menjadi calon ini, banyak juga masalah rakyat yang telah dikemukakan kepada kerajaan negeri dan pusat untuk diberi perhatian," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta penduduk Kuala Terengganu terus memberikan mandat kepada BN dalam pilihan raya kecil itu nanti untuk memastikan agenda pembangunan di kawasan itu dapat diteruskan tanpa sebarang masalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan