BERNAMA
PULAU PINANG — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata ia telah mempunyai bukti dan keterangan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam penyelenggaran sebuah kereta mewah dan pembelian lembu korban.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata suruhanjaya itu telah selesai menjalankan siasatan dan kini terserah kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan.
“SPRM boleh buat keputusan tetapi eloklah jika kita serah kepada Peguam Negara untuk mempertimbangkan dan mengambil tindakan, ini melibatkan orang kenamaan dan kita perlu adil kepada semua orang,” katanya pada persidangan akhbar selepas majlis upacara pecah tanah bangunan kuarters SPRM Pulau Pinang di sini.
Ahmad Said berkata daripada segi teknikalnya, memang terdapat keterangan berhubung dakwaan itu. Abdul Khalid sebelum ini didakwa menggunakan dana kerajaan negeri untuk menyelenggara kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus milik peribadinya yang bernombor WQR 779 serta pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 menggunakan wang kerajaan negeri.
Selain itu, Ahmad Said berkata SPRM juga akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar kerana menggantung Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang DUN negeri itu.
Katanya kes salah guna kuasa Sivakumar itu akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009.
“Jika benar terdapat penyalahgunaan kuasa SPRM akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Said melancarkan majlis pecah tanah bangunan kuarters SPRM Pulau Pinang yang dibina di tanah seluas 4,800 kaki persegi berhampiran bangunan pejabat SPRM.
Kuarters yang dijadual siap dalam tempoh 18 bulan itu mempunyai 32 unit kediaman dengan ketinggian 21 tingkat, setiap unit mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Bangunan kuarters itu juga dilengkapi dengan kemudahan taska dan taman asuhan kanak-kanak serta surau untuk kemudahan penghuninya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.