Halaman

Sabtu, 21 Februari 2009

Surat terbuka kepada DSAI darihal 'Ganas'

H Fansuri


Sama ada sedar atau tidak, manusia yang bernama Mohd Najib Tun Abdul Razak memang merbahaya di Malaysia. Saya rasa bersalah kerana Najib memakai syor saya untuk menyingkirkan Abdullah Ahmad Badawi secara tersirat sebelum ini.

Hal itu berlaku ketika kerajaan BN kalah dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu. Lalu, saya cadangkan kepada Najib lewat tulisan saya di Harakah Daily agar beliau merampas kuasa daripada Abdullah Ahmad Badawi. Sebagai dijangka.. pada awal-awalnya Najib malu-malu badak sumbu.

Tidak lama selepas itu, barulah nampak Najib mula bertindak dan akhirnya, pelan peralihan kuasa mula berganjak sedikit demi sedikit lewat pertukaran kuasa antara Kementerian Kewangan di bawah teraju Abdullah kepada Kementerian Pertahanan di bawah seliaan Najib sebagai awal kepada permulaan, menuju ke arah titik peralihan kuasa itu.

Saya memerintahkan Najib merampas kuasa daripada Abdullah itu dengan sebab tertentu. Antara sebab yang terpenting ialah, rakyat tidak mahu Malaysia ini diperintah oleh Abdullah yang sangat lemah. Najib itu, walaupun jahat, tetapi dia kuat berbanding Abdullah.

Harus diakui bahawa Najib memang lembab merampas kuasa daripada Abdullah. Saya memerintahkan Najib membuat rampasan kuasa secara terhormat itu pada bulan Mac sejurus selepas BN hilang lima buah negeri. Tetapi, sekitar bulan Oktober, barulah Najib berjaya memaksa Abdullah berundur mengikut arahan saya.

Najib mengambil masa sekitar 7 bulan untuk melengkapkan usaha dan menyempurnakan rancangan merampas kuasa itu. Sungguh lembap orangnya. Tetapi, itulah Najib. Saya perlu bersabar sekejap dengan masalah kelembapan itu.

Jadi, saya menyangkal pandangan orang-ramai bahawa Najib bongkak, angkuh, dan sombong dengan rakyat. Najib dengar arahan saya untuk merampas kuasa daripada Abdullah. Najib akur, taat, sujud dan rukuk terhadap perintah saya itu. Najib tidak bertakbiratul ihram dan iktidal dalam menyanggah arahan saya.

Jadi, siapa kata Najib berlagak sombong? Najib tawadhuk apa?

RM 1 juta untuk Golf Remaja

Namun, akhir-akhir ini Najib semakin keras dengan aturan, percaturan konspirasi. Ini sangat merbahaya. Rampasan kuasa di Perak, kemudiannya menjatuhkan Elizabeth Wong di Selangor dan kini Tan Sri Khalid Ibrahim pula mula disengat oleh patukan berbisa Umno, BN. Hal ini tentulah terkait dengan rancangan Umno juga.

Semua ini amat meresahkan batin. Walaubagaimanapun, hal menjatuhkan orang-orang tertentu, menculik musuh politik, membunuh seteru politik ini memang seolah-olah menjadi rutin wajib bagi orang-orang politik.

Najib mula main kasar. Daripada suatu segi, nampaknya kita 'seolah-olah boleh menerima' sikap sebegini. Seperti atau seolah-olah, boleh menerima sikap Umno, BN. Namun, kita tidak boleh biarkan semua ini terus-menerus berlaku!

Syahadan, baru-baru ini, saya tak boleh terima kenyataan bahawa Najib setuju dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM1 juta untuk membangunkan Golf Remaja. Najib boleh mengguna wang komisennya selama ini untuk menaja Golf Remaja itu. Hal itu tiada salahnya (sebenarnya, salah juga. Tapi, perbahasannya panjang..).

Najib boleh guna wang peribadi untuk menaja piala pusingan golf Dato Seri Najib. Tetapi, untuk digunakan wang kerajaan (baca, duit hasil percukaian dari rakyat), sebagai wang penajaan permainan golf, hal itu bukan termasuk dalam pemerintahan bermaruah dan pemerintahan hadhari. Pemerintahan glokal.. boleh jadi kot.

Berapa ramai rakyat yang tahu, peduli sangat permainan golf? Golf bukanlah permainan rakyat. Peruntukan RM 1 juta untuk golf remaja itu alangkah baiknya jikalau dapat kita salurkan kepada rakyat Palestin yang menderita dibedil bom Zionis Israel? Entah berapa banyak bom Israel telah dilancarkan tidaklah kita ketahui.

Sezalim-zalim Israel mengebom bandar Gaza, zalim lagi tindakan meletupkan tubuh Altantuya of Mongolia yang lemah tidak berdaya itu.

Sekurang-kurangnya, Muslimin di Gaza berpeluang melarikan diri lalu melancarkan serangan balas dengan batu-batu kerikil di jalanan. Tapi, apakah yang dapat dilakukan oleh Altantuya yang terikat kemas tubuhnya oleh orang-orang suruhan Ibnu Abdul Razak pada malam itu?

Arakian, peruntukan RM 1 juta untuk pembangunan Golf Remaja itulah yang menyayatkan hati saya saat ini. Ketika wang sejumlah itu diumumkan Najib.. terasa bagaikan ada sebutir bom C4 yang sedang meledak di dalam hati saya.

Semakin merbahaya Najib dan Umno terhadap bangsa Malaysia. Rakyat telah dijajah oleh Umno dan BN sepenuhnya lewat media perdana dan Najib adalah antara orang yang paling merbahaya setakat ini.

Bahayanya Najib terhadap bangsa Malaysia ini terletak pada kekuatan duitnya untuk membeli maruah orang-orang tertentu. Justeru, saya berharap agar Dato' Seri dapat memikirkan semasak-masaknya untuk kembali berkempen kepada rakyat dengan mengukuhkan slogan - selamatkan rakyat Malaysia daripada penjajahan Umno, BN.

'GANAS' dan slogan anti penjajahan Umno, BN di Malaysia

Saya tidak tahu sejauhmanakah Dato' Seri bersetuju dengan pendapat ini. Memandangkan Najib terlalu bahaya, maka saya mencadangkan agar Dato' Seri dapat menjadi penaung kepada suatu jaringan, pergerakan yang saya namakan sebagai Gerakan Anti Najib Semalaysia (Ganas).

Bagaimanapun, nama kepada pergerakan dan jaringan ini bolehlah diubah mengikut selera dan citarasa para pendengar, asalkan motifnya masih sama, iaitu memerangi ancaman Najib dan juak-juaknya ke atas bangsa Malaysia mutakhir ini.

Terdahulu.. pernah juga saya mendengar Dato' Seri melaungkan slogan agar kita semua memerangi penjajahan Umno dan Barisan Nasional. Saya harap, slogan tersebut masih kekal lagi dan kita perlu lebih ramai tenaga penggerak.

Sudah tentulah gerakan seperti ini tidak dipersetujui oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Kita boleh memahami kenapa British mengharamkan Hizbul Muslimin, PKMM dan PKM pada ketika rakyat memperjuangkan kemerdekaan dahulu. Yang tidak diharamkan pada saat itu adalah Umno kerana mereka adalah anak didik penjajah.

Biarlah gerakan semacam ini hidup berterusan hendaknya. Rakyat haruslah disedarkan bahawa menentang dan memerangi penjajahan Umno, BN ini adalah suatu bentuk perjuangan memerangi PPSMI, memerangi Auku, menentang ISA, memansuhkan sekalian akta yang terkait dengan industri percetakan, dan penerbitan akhbar.

Najib halang Umno Johor bantah PPSMI?

Najib terlalu merbahaya nampaknya. Selain bahaya ancaman Najib daripada segi kekuatan wangnya, Najib merbahaya daripada segi sikapnya yang menggerunkan orang di sekelilingnya. Ramai orang Umno yang ingin membuat kebaikan, tetapi kebaikan itu tersekat lantaran ketakutan mereka terhadap Najib.

Bukan tidak ada orang-orang Umno yang mahu membawa usul memansuhkan PPSMI di dalam Perhimpunan Agung Umno. Saya dengar cerita, ramai juga. Tetapi, mereka terpaksa mendiamkan diri sahaja selepas Najib tidak mengizinkan mereka berbuat demikian.

Jadi, bahayanya Najib, bukan cuma terletak kepada duitnya yang boleh membeli insan-insan yang lemah dan tidak bermaruah. Malah, bahayanya Najib terhadap tamadun, bangsa Malaysia ini terletak kepada kekuatan ancamannya sehinggakan orang-orang Umno takut untuk melaksanakan kebaikan.

Saya fikir, setakat ini dahulu Dato' Seri.. Saya telah lama menulis dan mewakafkan banyak waktu untuk mengarang banyak perkara dengan menyentuh isu-isu tertentu.

Di sini, kita harus pandai mengatur masa juga. Kali ini, biarlah masa kita dimanfaatkan betul-betul dan biarlah ada jawapan juga bagi mencerminkan kesungguhan itu.

Soalan saya, adakah Dato' Seri sudi menjadi penaung atau tidak? Adakah saya perlu menyusun rangkaian daripada sahabat-sahabat, kenalan, rakan, untuk hadir bertemu Dato' Seri bagi meneruskan perbincangan berhubung idea seperti yang saya bangkitkan di atas?

Sekian, saya dan rakan-rakan menuntut jawapan muktamad daripada Dato' Seri..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.