Oleh HASNURUL MOHAMED
BUTTERWORTH - Akibat berhutang dengan tujuh ah long berjumlah RM87,000 untuk menjalankan kerja-kerja subkontrak penyelenggaraan bangunan di Seberang Jaya di sini, seorang kontraktor hidup dalam ketakutan dan tidak ubah seperti pelarian sejak empat bulan lalu.
Selama empat bulan jugalah Shahrizan Shariff, 32, terpisah daripada isteri dan empat anaknya yang berusia tiga hingga 10 tahun semata-mata untuk memastikan nyawanya sekeluarga tidak diancam oleh peminjam wang haram itu.
Menurutnya, segalanya bermula apabila syarikatnya, JB Utara yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ditamatkan kontrak tanpa alasan pada 26 Februari lalu.
"Kontrak keseluruhan yang saya dapat untuk membuat kerja-kerja subkontrak bernilai RM2.2 juta iaitu menyelenggara bangunan Perkeso di Seberang Jaya dan di Ipoh, Perak.
"Malangnya syarikat induk yang diberikan kontrak oleh Perkeso bertindak menamatkan kontrak dengan syarikat saya.
"Saya kini berhutang bukan sahaja dengan tujuh ah long tetapi lapan lagi individu lain," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah di sini hari ini.
Beliau yang terpaksa membotakkan kepala dan memakai rambut palsu serta bertopi untuk mengelakkan dirinya dicam memberitahu, jumlah keseluruhan hutangnya melebihi RM650,000 termasuk RM87,000 daripada ah long.
Bimbangkan keselamatan isteri dan anak-anaknya, Shahrizan berkata, untuk mengelakkan daripada ditangkap ah long, dia bukan sahaja 'memisahkan' isteri dan anak-anak tetapi juga merahsiakan tempat tinggal mereka.
Sambil mengesat air mata, beliau berkata, satu-satunya cara untuk menghubungi sama ada isteri atau anak-anaknya bagi bertanyakan khabar adalah melalui telefon awam kerana dia sendiri tidak berani untuk mempunyai telefon bimbit.
Tambahnya, untuk menampung perbelanjaan hariannya, dia mengutip tin-tin kosong dan besi buruk untuk dijual dengan pendapatan RM15 sehari manakala tempat penginapan pula terpaksa berubah-ubah.
"Setakat ini, bolehlah elak-elak diri daripada ditangkap ah long kerana saya sedar, sebelum mereka tangkap saya, lebih baik saya hati-hati," jelasnya.
Shahrizan berkata, dengan pendedahan yang dibuatnya kepada pemberita, dia berharap supaya pihak Perkeso campur tangan untuk menyelesaikan masalah pemberhentian kontrak kepada syarikatnya oleh syarikat induk.
"Saya mahu hidup seperti orang biasa... Saya mahu selesaikan hutang-hutang terutamanya kepada ah long kerana saya sedar, selagi tidak membayar balik duit ah long selagi itulah saya akan menjadi buruan dan hidup sebagai pelarian," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.