Halaman

Selasa, 23 Jun 2009

Keselamatan pusat serenti dikaji semula

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membincangkan tahap keselamatan di pusat serenti seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ia bagi memastikan keselamatan di tempat tahanan tersebut lebih terjamin dan sentiasa bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan yang berlaku.

''Saya sudah berbincang dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri mengenai kemungkinan untuk kita mengkaji semula tahap keselamatan di Pusat-pusat Serenti,'' katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menganugerahkan kenaikan pangkat kepada Cif Inspektor Ang Weai Leoong atas keberanian membanteras jenayah di sini hari ini.

Dalam kejadian yang bermula kira-kira pukul 6.40 petang Jumaat lalu, sekumpulan penghuni Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang merusuh dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati beberapa penghuni yang ditahan di sel pusat itu, yang masih didapati positif dadah walaupun selepas menjalani pemulihan.

Dalam pada itu, Musa berkata, siasatan mengenai kes tersebut masih dijalankan bagi mengenal pasti dalang yang memulakan kejadian itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kuasa 'membersihkan' termasuk menutup sarang maksiat seperti di Lorong Haji Taib di ibu kota adalah di bawah bidang tugas pihak berkuasa tempatan (PBT).

''Tugas polis hanya menangkap mereka yang terlibat namun kuasa menutup tempat itu terletak di tangan PBT.

''Pihak berkenaan perlu bersikap tegas supaya tempat itu tidak menjadi sarang maksiat dengan cara tidak memberikan lesen kepada pengendali tempat itu.

''Dialog bersama PBT, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kaunselor telah diadakan bagi membendung kegiatan itu,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.