HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Jun 2009

HTF akui kakitangan cuai

BERITA HARIAN ONLINE


KANGAR: “Maafkan kami... kami akui kesilapan. Mungkin ia kehendak Tuhan," demikian reaksi ringkas pengurusan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selepas Jawatankuasa Siasatan Bebas mengesahkan kecederaan dialami bayi berusia dua bulan, Siti Balqis Sany, berpunca akibat kelalaian pihaknya.

Reaksi itu amat berbeza berbanding sebelum ini apabila HTF lantang mempertahankan sikap profesionalisme kakitangannya ketika mengendalikan kelahiran Siti Balqis pada 23 April lalu.

Malah, ketika itu, HTF turut meletakkan kecuaian penjagaan oleh ibu bapa bayi berkenaan, Sany Shahadan, 28 dan isteri, Zaidah Azura Rahmat, 25, sebagai punca tulang selangka pada bahu kiri Siti Balqis patah.

Justeru, terkilan dan kecewa dengan kecuaian dan tindakan melulu HTF, Sany ketika ditemui semalam menegaskan untuk meneruskan niatnya memfailkan saman terhadap hospital itu.

"Saya kecewa kerana HTF seolah-olah tidak ikhlas meminta maaf sebaik mendapati keputusan mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Bebas berpihak kepada kami.

"Malah, tindakan hospital yang sampai sekarang enggan menunjukkan laporan awal X-ray menunjukkan mereka seolah-olah ingin menyorok kes itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pauh Indah di sini.

Siti Balqis, anak ketiga pasangan Sany dan Zaidah dilahirkan, 23 April lalu dan ditahan enam hari untuk pengawasan selepas dikesan mengalami masalah pada bahu, sebelum dibenarkan pulang pada 28 April.

Tiada ulasan: