UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Ibu bapa dinasihatkan jangan panik dengan penutupan dua buah sekolah di Lembah Klang akibat wabak selesema babi atau jangkitan virus influenza A (H1N1).
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menegaskan, langkah-langkah proaktif telah diambil oleh kementerian bagi membendung masalah itu.
Beliau berkata, pihaknya mendapat nasihat dan khidmat kepakaran daripada Kementerian Kesihatan dalam menangani kes itu di peringkat sekolah.
''Kita telah meminta pihak sekolah memantau setiap hari jika terdapat tanda-tanda penyakit seperti demam panas dan selesema dalam kalangan pelajar dan warga sekolah agar ia dapat dirujuk segera ke hospital,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama di sini hari ini.
Seorang pelajar lelaki tingkatan dua sekolah itu disahkan positif H1N1 dan seramai 39 orang rakan sekelasnya telah dikuarantin.
Kementerian Kesihatan sebelum ini mengarahkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Jalan Davidson, Kuala Lumpur ditutup kelmarin, manakala Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta, Petaling Jaya, pula diarah berbuat demikian semalam.
Mengenai pelajar SMK Damansara Utama itu, Alimuddin berkata, pelajar terbabit akan dikuarantin di hospital terdekat, manakala mereka yang hanya demam biasa boleh berehat di rumah.
Jelas beliau, para pelajar yang dikuarantin tidak dibenarkan pergi ke sekolah dan mereka hanya boleh berbuat demikian pada minggu depan sekiranya keadaan mengizinkan.
''Pihak sekolah seperti di SMK Damansara Utama telah pun diarah agar membersihkan kelas yang terlibat dengan ubat cucian yang diberi oleh pihak hospital dan juga yang dibeli sendiri.
''Ia bertujuan memastikan kelas berkenaan benar-benar selamat digunakan apabila para pelajar mula kembali ke sekolah pada minggu depan,'' ujarnya.
Selain bilik darjah, Alimuddin memberitahu, pihak sekolah juga perlu memastikan persekitaran sentiasa bersih terutamanya tandas, kantin, asrama dan sebagainya.
Beliau berkata, semua aktiviti sekolah termasuk kegiatan kokurikulum akan dijalankan seperti biasa.
''Bilangan kehadiran yang dicatatkan di seluruh negara adalah sebanyak 85 peratus. Saya harap ibu bapa tidak panik dan takut kerana keadaan masih terkawal,'' tegasnya,
Menurutnya, pihak sekolah juga diminta menjalankan soal selidik ke atas semua pelajar untuk pemantauan selain mengadakan kelas tambahan bagi para pelajar yang terlibat dengan arahan kuarantin.
Beliau memberitahu, atas nasihat Kementerian Kesihatan, para pelajar yang baru pulang dari luar negara terutamanya Melbourne, Australia; Amerika Syarikat dan London, tidak perlu hadir ke sekolah jika mereka ada tanda-tanda demam panas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan