HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Jun 2009

Jangan naikkan pangkat perokok

Oleh HAKIMI ISMAIL


KUALA LUMPUR - Semua pengusaha pasar raya di negara ini disaran tidak menaikkan pangkat pekerja-pekerja yang didapati mengamalkan tabiat merokok.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan berkata, pengusaha juga digalakkan tidak memberi insensif tahunan kepada pekerja yang merokok dan seterusnya mengambil pekerja tidak merokok sahaja.

Beliau berkata, beberapa langkah drastik itu diyakini mampu mewujudkan kesedaran kepada semua pekerja pasar raya supaya berhenti merokok sekali gus menjadi contoh kepada pelanggan supaya tidak merokok.

"Kita tidak mahu hanya orang awam sahaja yang tidak merokok sedangkan pekerja mereka merokok di kawasan medan selera, tandas dan di tepi-tepi tembok.

"Sebelum kita mengadakan kempen untuk orang ramai, rasanya elok kita mengadakan kempen untuk para pekerja terlebih dahulu dan menjadi ikutan kepada pasar raya lain,'' katanya.

Beliau berucap merasmikan program Bebas Asap Rokok di pasar raya Jusco AU2 Setiawangsa selama dua hari di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr. Ismail Abu Taat.

Dalam perkembangan berkaitan, Saravanan berkata, sebanyak 650 juta perokok di seluruh dunia mati akibat merokok setiap tahun dan ia amat membimbangkan.

Katanya di negara ini, dianggarkan 4.6 juta orang menghisap kira-kira 33 juta batang rokok sehari dan membelanjakan sejumlah RM8.59 juta sehari untuk membeli rokok.

Tiada ulasan: