HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Jun 2009

Kos ambil amah hanya RM4,000

Oleh Nik Sukry Ramli


PETALING JAYA: Kadar bayaran untuk mengambil pembantu rumah Indonesia yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan republik itu hanya RM4,000 dan bukannya antara RM6,000 dan RM8,000 seperti didakwa pihak tertentu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kadar itu berpatutan selepas mengambil kira beberapa faktor selain kos menguruskan dokumentasi pembantu rumah memasuki negara ini.

Katanya, jumlah bayaran itu dipersetujui dalam perbincangan membabitkan pemimpin Malaysia dan Indonesia tetapi kerajaan tidak dapat, mengawal jika ada majikan dan agensi membekalkan pekerja asing mahu mengenakan kadar lebih tinggi.

“Memang kita akui ada majikan sudi membayar lebih daripada jumlah itu untuk mendapatkan pekerja berkualiti. Itu adalah urusan mereka dengan agensi pekerjaan berkenaan. Jika jumlah bayaran yang dikenakan itu tinggi, biasanya pihak agensi membekalkan pekerja di Indonesia yang mendapatkan keuntungan,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) di sini, semalam.

Persidangan bertemakan Menguruskan Pengecilan Operasi Dalam Tempoh Sukar itu turut dihadiri Presiden FMM, Tan Sri Mustafa Mansur dan Pengerusi Pengurusan Sumber Manusia FMM, Davies Danavaindran.

Subramaniam berkata, satu perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat oleh Jawatankuasa Bersama yang dianggotai wakil daripada kedua negara bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi pelbagai masalah membabitkan pembantu rumah daripada negara itu.

Katanya, selain perbincangan itu, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan syarikat tempatan yang bertanggungjawab menguruskan kemasukan pembantu rumah dari Indonesia dan pekerja asing untuk pelbagai sektor.

“Perbincangan ini penting untuk mendapatkan maklum balas keadaan semasa dan pelbagai isu membabitkan pekerja asing, terutamanya pembantu rumah ini.

“Kita juga masih meneliti pandangan orang ramai mengenai cadangan memberikan cuti sehari kepada pembantu rumah. Banyak komen diterima, jadi beri kami masa untuk meneliti setiap pandangan ini sebelum membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata, draf pindaan Akta Pekerja akan dibentangkan di Parlimen Oktober depan bagi memastikan kebajikan pekerja tempatan dan asing dapat dibela.

Tiada ulasan: