Oleh Mohamad Hussin
DANOK (Selatan Thailand): Hanya berbekal tuan empunya diri tanpa perlu membawa wali, sijil keizinan berkahwin daripada Jabatan Agama Islam, sijil kursus kahwin, sijil mengenai status kesihatan sama ada bebas daripada HIV atau Aids dan juga wang hantaran, pasangan dari Malaysia bebas untuk berkahwin di negara jiran dengan bayaran serendah RM400 untuk urusan lengkap.
Berikutan terlalu mudah berurusan untuk berkahwin di negara jiran terutama di Selatan Thailand, ramai pasangan termasuk dipercayai membabitkan selebriti dan berstatus elit yang ingin berkahwin lagi membuat keputusan untuk berkahwin di sini.
Urusan berkahwin di Thailand juga menjadi pilihan kerana ‘tok kadi’ kebiasaannya tidak mengenali individu yang terkenal dari negara ini sekali gus menjadikan rahsia mereka ‘selamat’ sehinggalah sama ada dibongkar isteri tua atau ahli keluarga yang tidak berpuas hati seperti yang berlaku membabitkan dramatis wanita terkenal dengan suaminya, baru-baru ini.
Bagaimanapun, kebiasaannya pasangan yang berkahwin di sini ialah lelaki ‘berhidung belang’ yang ingin mengisi ‘kuota’ isteri yang kedua, ketiga atau keempat datang ke negara ini untuk berkahwin berikutan cukup mudah berbanding prosedur ketat di Malaysia.
Selain itu, gara-gara cinta terhalang akibat hubungan tidak direstui keluarga menyebabkan ada pasangan ‘sengkek’ yang ingin mendirikan rumah tangga terutama pasangan muda sanggup meredah sempadan Malaysia-Thailand untuk bernikah tanpa membayar wang mas kahwin di negara jiran.
Imam Masjid Fathu Islami di sini, Sufian Ismail, 56, berkata sepanjang menjadi imam di masjid berkenaan sejak 18 tahun lalu, dia sudah menikahkan lebih 1,500 pasangan Islam dari Malaysia sama ada yang muda atau warga emas tetapi dia tidak mengenali sama ada mereka selebriti atau orang kenamaan dan terkenal.
“Kebanyakan yang datang untuk bernikah adalah mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai isteri. Ada juga pasangan muda yang mempunyai masalah kerana perhubungan mereka tidak direstui keluarga termasuk keengganan bapa mewalikan datang ke sini untuk bernikah.
“Mereka juga memberikan pelbagai alasan iaitu kesukaran pihak berkuasa di Malaysia membenarkan poligami, menghadiri kursus perkahwinan serta pelbagai syarat yang perlu mereka patuhi menyebabkan pasangan itu bernikah di sini.
“Saya terpaksa menikahkan pasangan yang datang berjumpa saya termasuk yang tidak mempunyai wali kerana bimbang mereka akan terjebak dengan perbuatan zina,” katanya kepada Harian Metro di sini, kelmarin.
Sufian yang berasal dari Yala, berkata sebagai seorang imam, beliau diberi kebenaran untuk menikahkan pasangan dengan syarat mereka membawa wali sama ada bapa pengantin perempuan, abang, keluarga atau saudara mara yang lain.
“Saya diberi kuasa Majlis Agama Islam Songkla (Mais) untuk menikahkan mana-mana pasangan yang ingin berkahwin asalkan mereka membawa wali.
“Bagaimanapun, kebiasaannya kes yang saya terima tidak mempunyai wali. Saya kena merujuk perkara itu kepada mana-mana 30 kadi yang diberi kuasa Mais untuk menikahkan pasangan berkenaan.
“Saya kena mohon ‘wakala’ (keizinan) daripada mereka sebelum menikahkan pasangan yang tidak mempunyai wali,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan