Oleh NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR - Parti-parti yang menganggotai pakatan pembangkang perlu menyatakan pendirian berhubung cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan bagi memudahkan Barisan Nasional (BN) membuat keputusan sama ada untuk menerima atau menolaknya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga kini wujud pandangan berbeza di kalangan anggota pakatan itu termasuk DAP yang menyatakan mereka tidak dimaklumkan secara rasmi mengenainya.
Beliau berkata, selain itu ada pula pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
"Saya sehingga kini tidak pasti sama ada ini hanya idea Pas atau cadangan pakatan pembangkang keseluruhannya.
"Bagaimana BN hendak menyatakan pendirian jika pakatan pembangkang tidak sebulat suara dalam pendirian dan pandangan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Bilangan 1/2009 di Seri Kembangan dekat sini hari ini.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini telah mempertahankan ideanya mengenai pembentukan kerajaan perpaduan yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah negara.
Bagaimanapun beliau menegaskan gagasan itu perlu melalui proses perbincangan secara terperinci oleh pelbagai pihak dan tidak perlu dilaksanakan secara tergopoh-gapah kerana ia suatu yang baru di kalangan rakyat.
Dalam pada itu, Muhyiddin sependapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menyatakan BN mengamalkan sikap terbuka berhubung cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan.
"Saya fikir kenyataan Perdana Menteri ini adalah satu isyarat bahawa kita bersedia untuk berbincang tetapi kita mahukan maklumat yang lebih mendalam mengenai perkara ini," katanya.
Bagaimanapun menurut beliau, sehingga hari ini pihaknya tidak pasti apa maksud kerajaan perpaduan malah hanya mengetahuinya menerusi akhbar-akhbar.
"Adakah konsep yang dimaksudkan ini ialah kita membentuk kerajaan campuran atau hanya berkerjasama antara satu sama lain dan sehingga kini saya tidak tahu," katanya.
Dalam hubungan ini katanya, mana-mana parti yang telah mencetuskan idea untuk mewujudkan kerajaan perpaduan perlu menerangkan perkara itu dengan sejelas-jelasnya.
"Ini bukan perkara yang kecil kerana ia mempunyai kepentingan kepada negara keseluruhannya dan jika idea ini datang daripada Pas, kita mahu melihat apakah pandangan daripada parti-parti lain yang menganggotai pakatan pembangkang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.