BERNAMA
PETALING JAYA: Tuntutan yang tidak munasabah dan peraturan ketat yang ditetapkan bank tempatan mendorong pelanggan menggunakan khidmat along, dakwa Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Setiausaha Agungnya, Muhammad Shaani Abdullah, berkata Fomca melalui Pusat Aduan Pengguna Malaysia (MCCC) menerima banyak aduan mengenai ‘keangkuhan dan kekerasan bank Malaysia’.
Misalnya, katanya, pelanggan yang mengambil pinjaman kereta dan gagal membuat bayaran pinjaman bagi tempoh sebulan atau dua bulan, disyaratkan membayar balik pinjaman itu sepenuhnya pada bulan berikutnya dan jika tidak, kereta mereka ditarik bank.
“Dengan kereta ditarik, pemilik kereta bukan saja mengalami masalah pengangkutan tetapi turut dibebankan kerana perlu membayar kos penarikan kereta dan caj faedah tambahan,” katanya.
Tekanan daripada bank mendorong orang ramai membuat pinjaman daripada ceti haram atau along untuk menjelaskan pinjaman bank dan mendapatkan semula kenderaan mereka, katanya.
Beliau berkata, apa yang sepatutnya dilakukan bank ialah menjadualkan semula bayaran pinjaman mereka supaya pelanggan mampu membuat bayaran balik dan tidak tertangguh.
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) bersetuju dengan Muhammad dan menggesa bank agar lebih berperikemanusiaan dan menjadi badan korporat yang bertanggungjawab.
Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata punca bank menggunakan kaedah itu adalah kerana semua jabatan kutipan mereka kini disumberkan kepada syarikat swasta yang menggunakan kaedah kutipan bayaran pinjaman mereka sendiri.
“Sesetengah syarikat menggaji samseng untuk membuat kutipan dan timbul masalah keangkuhan dan kekerasan," katanya.
Beliau berkata, nasihat Nube kepada semua 30,000 kakitangan bank supaya bersikap beradab sopan dan berperikemanusiaan kepada pelanggan.
“Kami beritahu ahli agar sensitif dengan keperluan orang ramai dan tidak membebankan mereka dengan caj tidak perlu jika mereka dapat elakkan,” katanya.
Solomon berkata, kebanyakan staf di jabatan kutipan pinjaman bank bukan ahlinya kerana mereka adalah pekerja syarikat yang disumberkan.
“Mereka mungkin memakai lambang bank, bekerja di premis bank tetapi bukannya pekerja bank.
“Ini yang orang sering tersilap, memikirkan yang kakitangan bank bersubahat dengan ejen kutipan pinjaman,” katanya.
Solomon dan Muhammad menggesa Bank Negara selaku badan pengawal, memantau unit kutipan pinjaman bank bagi membendung penyelewengan itu dan menjaga integriti institusi bank di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.