MYMETRO
KUALA LUMPUR: Berbekalkan ‘biskut pukau’, seorang penjenayah warga asing dikesan memperdaya dua mangsa hingga pengsan sejurus menjamah biskut terbabit sebelum dirompak.
Jenayah menggunakan taktik aneh itu dikesan selepas dua pelancong warga Pakistan mendakwa pengsan sebaik mengunyah biskut yang diberikan suspek, seorang lelaki warga Timur Tengah.
Lebih menakutkan apabila biskut yang dipercayai dicampur dengan ubat khayal berkenaan menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri hampir dua hari.
Dalam kejadian jam 11 malam Sabtu minggu lalu, mangsa berusia 22 tahun bersama rakannya berada di lobi sebuah hotel di Jalan Pudu di sini.
Mangsa yang datang ke negara ini untuk melancong sejak 19 Mei lalu dihampiri seorang lelaki berketurunan Arab yang tidak dikenali.
Sumber polis berkata, suspek yang bersikap mesra ‘luar biasa’ berpura-pura ingin berkenalan dengan mangsa sambil mereka berborak di lobi hotel berkenaan.
“Sewaktu sedang leka berbual, suspek yang dipercayai berusia sekitar 40-an mengeluarkan sebungkus biskut sebelum menawarkan makanan terbabit kepada kedua-dua mangsa.
“Mangsa yang langsung tidak mencurigai suspek kemudian segera mengambil biskut berkenaan sebelum menjamahnya,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang memakan biskut terbabit tiba-tiba berasa khayal beberapa minit sebelum tidak sedarkan diri.
“Mangsa yang tertidur selepas termakan biskut dipercayai mengandungi ubat khayal berkenaan kemudian dibawa suspek masuk ke dalam bilik hotel disewa.
“Suspek menggeledah bilik mangsa sebelum mengambil barang berharga dan melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, mangsa hanya tersedar dari pengsan dua hari selepas kejadian iaitu sekitar jam 1 tengah hari.
“Selepas sedar, mangsa mendapati beg mereka digeledah manakala pelbagai barang berharga milik mereka lesap,” katanya.
Menurutnya, antara yang dilaporkan hilang termasuk wang tunai USD1,500 (RM5,250), wang RM1,100, dua telefon bimbit, alat pemain MP4 dan kamera.
“Mangsa yang menyedari diperdaya hingga pengsan sebelum dirompak kemudian membuat laporan polis,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.