UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Peranan 22,618 ahli jawatankuasa masjid di negara ini akan diperluaskan kepada memberi keutamaan terhadap aspek sejarah, budaya, seni dan warisan Islam sendiri.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, fungsi ahli jawatankuasa masjid tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti harian institusi Islam seperti solat berjemaah dan membersihkan masjid semata-mata.
Sebaliknya, jelas beliau, aktiviti lain menekankan unsur bersatu padu yang menarik minat golongan muda perlu ditambah untuk menjamin kekuatan agama Islam di dunia.
''Kita perlu kembangkan skop tugas 22,618 ahli jawatankuasa masjid termasuk 13,444 imam di seluruh negara kepada aspek yang berciri sejarah, budaya dan warisan Islam.
''Ia menjamin tarikan golongan muda terhadap Islam selain mempelbagaikan peranan masjid itu sendiri sebagai pusat seni agama,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis 'Jejak Warisan Masjid' sempena meraikan Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009 di Masjid Negara hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Datin Paduka Zuraina Majid.
Pada majlis itu, buku berkaitan perkembangan seni bina Islam dari masjid dan surau sekitar ibu kota, Heritage Mosque and Musollas in Kuala Lumpur dilancarkan.
Selain itu, 400 peserta daripada institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang dipilih untuk menyertai lawatan sehari ke tujuh masjid terpilih sekitar ibu negara.
Masjid yang dipilih ialah Masjid Wilayah, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jameul Ehsan Pekan, Masjid India, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Asy-Syakirin KLCC dan Muzium Kesenian Islam.
Peserta diberi pengetahuan berkaitan peranan masjid selain pendedahan kepelbagaian reka bentuk dari segi tradisional dan moden.
Pada 5 Mei lalu, Kuala Lumpur dipilih sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009 bagi rantau Asia oleh Pertubuhan Antarabangsa Pendidikan, Saintifik dan Budaya Islam (ISESCO) selain Baku di Republik Azerbaijan, Kairouan di Republik Tunisia dan N'Djamena di Republik Chad.
Tambah Rais, kerajaan kini dalam usaha mengikis pandangan negatif negara Barat terhadap Islam.
Katanya, 6,119 masjid dan 13,808 surau di seluruh negara juga akan digerakkan dengan aktiviti yang boleh mengukuhkan semangat terhadap hidup berharmoni.
''Kita mahu agama Islam bersih daripada pandangan negatif negara Barat. Kita perlu mengukuhkan institusi masjid dengan kegiatan yang menyedarkan orang ramai sendiri.
''Kerana itu kita memberi tumpuan kepada orang muda dalam pelbagai aktiviti berkaitan. Kita nampak banyak aspek berkaitan agama yang boleh dikembangkan menjadi satu minat kepada mereka,'' ujarnya.
Dalam pada itu, Rais mengumumkan pemilihan sebuah masjid di setiap negeri untuk program dokumentari yang akan dimulakan bulan depan.
Katanya, dokumentari yang akan dibuat dengan kerjasama Jabatan Filem Negara dengan Finas dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu akan memaparkan keindahan seni bina masjid di seluruh negara.
''Kita akan kembangkan ciri-ciri warisan yang ada di setiap masjid yang terpilih. Kita akan muatkan masjid ini dalam dokumentari yang akan dimulakan penggambarannya bulan depan.
''Kita jangka ia akan ditayangkan kira-kira tiga bulan lagi. Ia akan menjadi saluran memperkenalkan keunikan masjid selain menanam rasa cinta masyarakat terhadap agama Islam,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.