SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Kerajaan negeri bakal melaksanakan sistem pentadbiran berasaskan Syariah Islam yang melibatkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, perubahan ke arah itu sudah ada tetapi mungkin belum begitu ketara lagi.
Menurutnya, langkah untuk membawa kepada satu pentadbiran yang bercorak Islam ini memerlukan jangka masa yang agak lama, individu yang mempunyai kepakaran selain memerlukan kesungguhan.
“Tetapi pada pandangan saya, kesungguhan sudah ada, terutamanya di bawah kerajaan baru (Pakatan Rakyat).
“Perkara kedua, sekiranya GLC tidak mempunyai tenaga pakar, kita boleh melantik tenaga pakar dari luar.
“Sekiranya GLC menghadapi masalah untuk mengurus harta dan perniagaan bercirikan Islam, terdapat banyak pihak yang menawarkan kursus untuk melatih mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pengurusan Harta Tidak Patuh Syariah (Harta Haram), di sini, semalam.
Katanya, dari segi penerimaan, beliau tidak nampak banyak masalah ataupun bantahan daripada pihak GLC, bahkan terdapat beberapa organisasi persendirian turut dilihat menghala ke arah itu.
“Saya berfikiran positif, saya rasa tidak ada pihak yang akan menentang cadangan ini kerana ia adalah sistem yang baik.
“Sebagai contoh, Takaful Ikhlas, yang melaksanakan sistem pengurusan dan pentadbiran harian kakitangan bercorakkan Islam. Begitu juga dengan pe-ngurusan Bank Muamalat.
“Mungkin ada pihak yang tidak nampak peranan ibadat khusus seperti solat, dalam mengendalikan organisasi tetapi perkara inilah yang sebenarnya membina jiwa, hati, serta perasaan takut melakukan perkara yang salah,” katanya.
Dr Hasan berkata, dari segi pengurusan moden, tidak ada acara untuk membentuk hati, sebaliknya tumpuan diberikan kepada membentuk kemahiran dan ilmu serta sikap dalam kalangan pekerja.
“Tetapi perkara yang penting adalah hati, tahu bagaimana untuk bersikap ikhlas, jujur, mengelakkan rasuah, serta menanamkan prinsip untuk tidak melakukan perkara yang tidak baik.
“Pas sebagai salah satu komponen dalam parti Pakatan Rakyat (PR), dari masa ke masa akan mengumpul tenaga fikir bagi melihat bagaimana kita dapat mencadangkan kepada kerajaan negeri, supaya secara perlahan sistem berkonsepkan Islam dapat diterapkan dan dilaksanakan dalam perancangan pembangunan GLC,” katanya.
Menurutnya, memang tenaga pemikir sudah ada tetapi belum sepenuhnya tertumpu kepada perkara berkenaan kerana terdapat banyak lagi perkara harian yang perlu diselesaikan.
“Perkara ini memakan masa yang agak lama dan memerlukan perancangan teliti sebelum dilaksanakan, tetapi dari segi penerimaannya pula, orang bukan Islam juga ada yang mencarum, menyimpan wang dan melabur dalam perbankan Islam.
“Sistem itu terbukti berjaya, dan sekiranya orang bukan Islam boleh mempraktikkan sistem Islam, saya rasa sangat tercabar jika orang Islam di Malaysia tidak melaksanakannya,” katanya.
Mengulas mengenai ahli yang akan menganggotai kumpulan pemikir, beliau berkata, pakar agama sahaja kurang mampu mengendalikannya, dan perlu ada pakar dari bidang profesional, ekonomi dan kewangan.
“Perkara ini pernah dibincangkan beberapa kali di peringkat pusat, tetapi tidak secara serius di peringkat negeri.
“Dari segi pakar, kita dah ada cuma belum digerakkan. Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga mempunyai kumpulan mereka sendiri. Bahkan jika kita melihat dari segi senarai ahli yang menganggotai, kini sudah mencecah sekurang-kurangnya 25 peratus, dan untuk menuju ke arah itu, kita sudah sedia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan