Halaman

Khamis, 4 Jun 2009

SPM: Kedudukan pelajar aliran agama dikaji

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menyedari permasalahan pelajar sekolah menengah aliran agama yang mengambil lebih 10 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana mengikuti pendidikan sains dan agama secara serentak.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Ketua Pengarah Pelajaran telah diarah menemui pentadbir dan pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam pendidikan aliran agama untuk mencari penyelesaian yang sesuai.

"Kita bagi ruang kerana saya difahamkan pelajar-pelajar di sekolah menengah agama ambil mata pelajaran sains dan agama, saya difahamkan selalunya lebih daripada 10 (mata pelajaran).

"Kita minta Ketua Pengarah berbincang dengan pentadbir dan pihak yang bertanggungjawab dengan bidang agama mengenai cara untuk menguruskan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kongres Dewan Sedunia ke-6 dan Smidex 2009 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pelajar yang menduduki SPM mulai tahun ini hanya dibenarkan mengambil peperiksaan untuk maksimum 10 mata pelajaran sahaja.

Pengumuman itu bagaimanapun mendapat bantahan beberapa pihak seperti parti MIC yang mendakwa pelajar tidak boleh lagi menduduki kertas Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil secara serentak serta perlu memilih salah satu mata pelajaran sahaja.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tindakan kerajaan mengehadkan bilangan mata pelajaran mempunyai banyak rasionalnya dan bukannya dibantah oleh semua pihak.

Katanya, tindakan tersebut membuka ruang kepada para pelajar untuk turut memberikan perhatian kepada aspek kokurikulum selain membolehkan guru memberikan tumpuan yang lebih terhadap tugas mereka.

Beliau memberitahu, berdasarkan keadaan semasa, jumlah pelajar SPM yang mengambil lebih 10 mata pelajaran tahun lalu cuma 48,000 berbanding 500,000 calon yang menduduki peperiksaan itu di seluruh negara.

Namun, katanya, walaupun jumlah pelajar dalam kategori itu tidak terlalu ramai, kerajaan bersikap positif dan bersedia mengambil kira pandangan pelbagai pihak berhubung langkah tersebut.

"Tidak bermakna bila kita putuskan, kita akan terus laksanakan, kita masih buka ruang (untuk terima pandangan pihak lain)," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat Kabinet hari ini turut membincangkan kesilapan senarai akhir kemasukan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sesi 2009/2010.

Beliau berkata, Kabinet telah menerima laporan bertulis menjelaskan kejadian berkenaan daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

"Saya sangat bersimpati dengan apa yang terjadi kepada para pelajar dan ibu bapa pada hari kejadian, USM juga telah mengambil langkah yang sepatutnya untuk memperbetulkan keadaan," katanya.

Beliau berkata, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku terutama di USM yang memiliki status sebagai universiti Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.