Oleh: Mail Mathew
AHLI JAWATANKUASA Perhubungan PKR Negeri Sabah Benedict Gonsubin Yosundang menyambut baik keperihatinan Naib Presiden PBS Herbert Timbun Lagadan yang seakan akan terkilan dengan masa depan kepimpinan Kadazandusun dan Murut (KDM) dalam PKR tetapi keluhan beliau ibarat ayam berkokok didalam sebuah ‘reban ayam yang terkunci’ dan bukan diatas batang seperti pada kelazimannya.
Dalam kenyataan Herbert dalam sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris baru baru ini bertajuk “ PKR double – standards in Sabah affairs” dimana beliau mendakwa bahawa PKR Sabah seolah olah diperkotak katikan oleh pucuk kepimpinan PKR pusat khususnya penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana melantik Pengerusi Perhubungan Negeri Azmin Ali seorang pemimpin kanan PKR dari Semenanjong.
Gonsubin yang juga Ketua Bahagian PKR Tenom bagaimanapun berkata, adalah lebih baik Herbert yang juga ADUN Kedamaian itu berpindah sahaja ke PKR jikalau lah beliau terasa sangat ingin membela ahli ahli dan pemimpin KDM dalam PKR, kerana selagi Hebert berada dalam PBS dan BN beliau tidak layak mencampuri urusan dalaman PKR.
Sama ada Herbert sedar atau tidak bahawa, sekalipun Herbert mendabik dada kononnya PBS sekarang ini sudah stabil dan kukuh apabila berada dalam kerajaan BN, igauan Hebert itu hanya akan dapat ditentukan ketika berhadapan dengan rakyat semasa PRU ke-13 yang mungkin diadakan lebih awal dari jadualnya 2013.
Pemimpin pemimpin PBS terutamanya ADUN Kedamaian Hebert Timbun Lagadan mungkin telah sedar bahawa kemuncak sokongan rakyat terhadap PBS tidak sehebat mana sokongan ketika tahun 1985 dan 1990 lagi, dimana masyarakat KDM secara senyap senyap telah menjalinkan hubungan rapat dengan pembangkang dan mereka berjanji akan memihak kepada gagasan Pakatan Rakyat (PR) pada PRU ke-13 kerana telah bosan dengan karenah politik UMNO dan BN yang korup dan ‘double standard’.
Rakyat KDM di negeri ini sudah memahami perjuangan PBS dan ‘Huguan Siou’ Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan yang tidak lagi sehebat ketika dulu yang lantang memperjuangkan hak asasi rakyat Sabah dan juga masyarakat KDM, lebih lebih lagi setelah PBS terlalu ghairah berbulan madu setelah berkahwin dengan BN.
Kesemua itu dapat dibuktikan dalam mana mana majlis perasmian disesuatu majlis formal mahupun kebudayaan dimana Pairin dalam ucapannya kerap memuji muji BN dan juga pemimpin pemimpin UMNO termasuklah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.
Dalam perkara lain, Gonsubin mencabar Hebert supaya beliau meminta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman mengeluarkan kenyataan berhubung laporan Polis yang dibuat oleh Naib Presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengenai pencerobohan hutan simpan kekal Maliau Basin di Lahad Datu.
Gonsubin berkata, semua rakyat dinegeri ini menyokong penuh tindakan Dr Jeffrey demi menjaga khazanah kekayaan alam flora dan fauna di negeri ini dari terus dicerobohi oleh segelintir manusia rakus yang tidak bertanggung jawab.
Sedangkan orang kampong menebang dua atau tiga pokok kayu dalam hutan simpan pun kena ambil tindakan undang undang perhutanan, inikan pula menceroboh masuk dan menebang kayu kayan ribuan ekar tetapi kerajaan negeri masih membisu.
“ Kenapa hutan simpan Maliau Basin boleh dicerobohi dengan mudah dan kerajaan berdiam diri?…tetapi rakyat KDM yang tinggal berpuluh puluh tahun sejak nenek moyang mereka lagi dikawasan hutan simpan Mukim Rundum dan Dalit…kerajaan membisu tak mahu lepaskan kepada masyarakat Murut disitu?..ini juga double standard namanya,”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.