Halaman

Ahad, 2 Ogos 2009

MB akan minta penjelasan Ronnie Liu

SABAH DAILY


SHAH ALAM - Tindakan Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu mengarahkan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula minuman keras yang dirampas daripada sebuah kedai serbaneka di sini kelmarin akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri minggu depan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu dan mendapatkan penjelasan daripada Ronnie yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri tentang apa yang sebenarnya berlaku.

”Saya akan menyiasat perkara ini dan mendapatkan penjelasan daripada Exco terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2009 di Auditorium Sirim di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ronnie yang mengarahkan anggota penguat kuasa MBSA memulangkan semula minuman keras yang dirampas daripada sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8 di sini kelmarin.

Mengulas isu penjualan minuman keras di bandar raya ini yang menimbulkan perbezaan pendapat antara wakil rakyat Pas dan DAP, Khalid berkata, minuman keras masih boleh dijual di premis di bandar raya ini tetapi perlu mempunyai lesen dan dibuat secara tertutup.

Bagaimanapun ujar beliau, kerajaan negeri masih dalam proses untuk menentukan garis panduan supaya penjualan minuman keras dibuat secara tertib dan berhemah bagi mengelak kesan sampingan khususnya kepada orang Islam.

Jelasnya, asas kepada peraturan yang masih dalam kajian itu ialah orang Islam diharamkan membeli dan menjual arak dan penjualan minuman keras kepada bukan Islam pula perlu dibuat secara tertib.

”Kita baru mengadakan perjumpaan dengan operator dan pengendali premis yang beroperasi di sini kira-kira dua bulan lalu. Kita jangka dalam tempoh tiga dan empat bulan akan datang baru kita boleh buat keputusan.

”Kita perlu melihat dan faham apa peraturan yang dibuat di negeri lain termasuk yang dipraktikkan di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat Pas dan DAP berbeza pendapat mengenai peraturan penjualan minuman keras di bandar raya ini berikutan Pas mahu kerajaan negeri mengharamkan penjualan minuman keras di kawasan yang majoriti penduduk beragama Islam.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan keras wakil rakyat DAP dengan alasan peraturan itu tidak adil bagi orang bukan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.