PAHANG DAILY
GEORGETOWN - Kerajaan negeri mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang meminta dokumen berkaitan kes siasatan bekas Timbalan Ketua Menteri I, Mohammad Fairus Khairuddin , walaupun kes itu sudah ditutup.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata tindakan SPRM itu menunjukkan seolah-olah kertas siasatan ke atas Mohammad Fairus akan dibuka semula. Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata pihaknya kurang senang dengan tindakan SPRM itu kerana seolah-olah mensasarkan kepada pemimpin Pakatan Rakyat dan DAP.
"Saya tidak faham motif SPRM membuka semula kes ini dengan meminta maklumat seperti minit mesyuarat Exco dan Jawatankuasa Tanah sedangkan mereka sendiri mengesahkan bahawa ia sudah ditutup," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Sebelum ini, SPRM memutuskan tiada asas untuk mendakwa bekas Timbalan Ketua Menteri I itu atas tuduhan rasuah dengan syarikat kuari. SPRM membuat keputusan itu berdasarkan siasatan yang menunjukkan tugas dan tanggungjawab Mohammad Fairus ketika menjawat jawatan itu tiada kaitan secara langsung dengan perusahaan kuari di Pulau Pinang.
Guan Eng berkata, tindakan SPRM itu hanya membuang masa dan tenaga sedangkan pada hakikatnya kes itu sudah ditutup dan Mohammad Fairus sudah dibebaskan daripada pertuduhan itu.
Walaubagaimanapun, Guan Eng berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya termasuk memberikan dokumen berkaitan seperti diminta SPRM.
[Nampaknya SPRM kini semakin kemaruk untuk menunjukkan kekuasaan mereka. Seolah-olah mereka merasakan kes yang berlaku kepada Mendiang Teoh Beng Hock sebelum ini tidak memberi kesan langsung dalam hati mereka.
Malah, mereka semakin ganas dan begitu berselera untuk menyiasat pemimpin Pakatan Rakyat biarpun sekadar menggunakan wang untuk membeli bendera Malaysia atau membuat banner ucapan terima kasih.
Inilah yang berlaku sebenarnya, SPRM kini seperti sudah menjadi satu lagi agen kerajaan untuk bertindak terhadap pembangkang. Mereka tidak akan membuat sebarang siasatan terhadap laporan yang dibuat terhadap pemimpin UMNO dan BN yang sudah terang-terangan menipu, menyeleweng dan merompak wang rakyat sejak sekian lama.
Apakah ini kerja SPRM selepas mereka dikatakan profesional susulan pertukaran dari nama Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Semoga dengan apa yang berlaku ini dapat menyedarkan rakyat bahawa kerajaan UMNO dan BN sudah kehilangan punca lantaran sanggup menjadikan agensi berkenaan sebagai "kambing hitam" bagi menakut-nakutkan rakyat].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan