Oleh Mohd Hamizar Hamid
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta penganjur majlis berbuka puasa memastikan lokasi berbuka termasuk hotel memiliki sijil perakuan halal dikeluarkan jabatan itu atau Majlis Agama Islam Negeri.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz, berkata penganjur perlu mengambil inisiatif itu bagi memastikan hanya makanan halal dihidangkan pada majlis berbuka.
"Berbuka puasa juga adalah ibadat dan kita tidak mahu ia menjadi sia-sia hanya disebabkan tetamu menikmati hidangan yang tidak halal ketika berbuka," katanya selepas majlis perasmian program Ambang Ramadan 2009 dan pelancaran buku Panduan Berpuasa Bagi Pesakit di sini, semalam.
Perasmian majlis dan pelancaran buku itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom.
Sementara itu, Wan Muhammad berkata, umat Islam dipelawa membawa ahli keluarga termasuk anak untuk berbuka puasa di masjid pada Ramadan kali ini.
"Budaya menganggap mereka yang berbuka puasa di masjid sebagai golongan miskin adalah tanggapan salah dan perlu dikikis. Tradisi berbuka puasa bersama keluarga di masjid sudah diamalkan secara meluas di negara maju termasuk di Eropah," katanya.
Sehubungan itu, pengurusan masjid diminta tidak terlalu berkeras dengan anak yang datang ke masjid bersama ibu bapa untuk berbuka serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih.
"Petugas masjid jangan terlalu garang dengan kanak-kanak. Mereka boleh mengawal kanak-kanak ketika jemaah menunaikan solat," katanya.
Wan Muhammad turut menggalakkan pihak pengurusan masjid mengundang masyarakat bukan Islam untuk sama-sama menyertai majlis berbuka puasa dianjurkan.
"Sekiranya masjid mempunyai kemudahan dewan yang sesuai, majlis berbuka puasa boleh dianjurkan dengan menjemput ahli rumah kebajikan dan anak yatim termasuk mereka yang bukan Islam... tidak ada halangan.
"Sebaiknya, kita sediakan program pengisian kepada yang bukan Islam ketika rakan mereka mengerjakan solat sunat Tarawih," katanya.
Sementara itu, Wan Muhammad berkata, cetakan buku Panduan Berpuasa Bagi Pesakit sebanyak 10,000 naskhah itu akan diedarkan secara percuma kepada semua hospital kerajaan dan swasta bermula di Lembah Klang secara berperingkat.
"Buku ini boleh dijadikan panduan kepada pesakit untuk menjalani ibadat puasa walaupun dalam keadaan uzur," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.