Halaman

Rabu, 19 Ogos 2009

Model sambilan minum arak kena waran tahanan

BERITA HARIAN ONLINE


KUANTAN: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini semalam mengeluarkan waran menahan model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, selama seminggu di Penjara Wanita Kajang, mulaI Isnin ini bagi membolehkan dia menjalani hukuman enam sebatan dijatuhkan mahkamah berkenaan, 20 Julai lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus membuat keputusan itu di kamarnya selepas membenarkan tiga permohonan termasuk waran penahanan dibuat Timbalan Pendakwa Syarie, Saiful Idham Sahimi.

Waran penahanan itu dikeluarkan mengikut Subseksyen 125(4) Enakmen Tatacara Jenayah 2002.

Dua lagi permohonan yang dikemukakan Saiful Idham ialah hukuman sebat itu dilaksana Pengarah Penjara Wanita Kajang dan waran pelepasan dikeluarkan ke atas Kartika Sari Dewi selepas hukuman selesai.

Abdul Rahman menerima ketiga-tiga permohonan itu pada jam 4 petang semalam sebelum mengeluarkan waran penahanan itu setengah jam kemudian.

Permohonan itu dibuat selepas Kartika tidak membuat rayuan yang berakhir Khamis lalu berhubung keputusan hukuman terhadapnya pada 20 Julai lalu.

Kartika dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 selepas mengaku salah minum arak di pusat hiburan di Cherating, dua tahun lalu.

Dia dihukum enam kali sebatan dan denda mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) yang akan dilaksanakan pihak penjara Persekutuan.

Beberapa hari selepas hukuman dijatuhkan, wanita berasal dari Sungai Siput, Perak dan berkahwin dengan seorang rakyat Singapura serta mempunyai dua anak itu memaklumkan mahu menjalani segera hukuman sebat terbabit.

Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) sudah memaklumkan bapa Kartika petang semalam berhubung waran penahanan itu dan akan menghantar pegawainya untuk menahan tertuduh dan membawanya ke penjara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.