HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 September 2009

Barisan Nasional akan pertahankan DUN Bagan Pinang: Najib

BERNAMA


MARAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada pilihan raya kecil kawasan itu berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Nor, petang semalam.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, adalah menjadi dasar parti untuk bertanding di kawasan yang dikosongkan akibat kematian atau sesuatu yang mengikut peruntukan perlembagaan.

“Kita (BN) telah membuat keputusan dari segi dasar iaitu jika satu-satu kawasan itu dikosongkan atas sebab kematian atau berdasarkan peruntukan perlembagaan, kita akan bertanding. Apatah lagi kawasan ini (DUN Bagan Pinang) adalah kerusi milik kita (BN),” katanya ketika diminta mengulas kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek perintis Program Sejahtera dan Program Pintar di Kampung Teluk Melati, dekat sini, semalam.

Pada majlis itu, Najib melancarkan projek perintis Program Sejahtera, iaitu program pembasmian kemiskinan, dan program Pintar peringkat nasional - sebuah program pengambilan sekolah angkat oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perdana Menteri berkata, bagi fasa pertama Program Sejahtera, seramai 1,000 keluarga terlibat dan membabitkan peruntukan sebanyak RM40 juta.

Bagi program Pintar, sehingga kini sejumlah 24 organisasi yang mana 22 daripadanya adalah GLC, dan mengambil 165 sekolah rendah dan menengah seluruh negara sebagai sekolah anak angkat program Pintar.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional merangkap Sekretariat PCG Tan Sri Azman Mokhtar.

Tiada ulasan: