HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 September 2009

Hanya 25% dapat cuti raya

Oleh ASSIM HASSAN


SUBANG JAYA – Tatkala umat Islam menanti kedatangan Syawal tidak lama lagi, pasti ada di kalangan kita yang tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

Itulah yang bakal dialami ribuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), seperti tahun-tahun terdahulu apabila terpaksa bertugas demi menjaga keselamatan tanah air.

Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, dianggarkan hanya 25 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota dan pegawai PDRM diluluskan untuk bercuti.

Peratusan itu diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika ditanya mengenai cuti pegawai dan anggotanya sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Menurut beliau, cuti Hari Raya Aidilfitri kali ini akan dibahagikan sama rata. Ini bermakna, tidak semua anggota dan pegawai yang beragama Islam mendapat cuti sempena perayaan itu.

Katanya, tahun ini, kira-kira 75 peratus pegawai dan anggota PDRM terpaksa bertugas dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Kita banyak jalankan operasi seperti Ops Sikap, rondaan rumah ke rumah dan sempadan serta perairan tanah air dan semua anggota ini (yang tidak bercuti) diperlukan untuk tugasan itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bungkusan Hari Raya peringkat PDRM 2009 di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 6,414 bungkusan raya diagihkan kepada wakil jabatan dalam PDRM yang berkhidmat sempena perayaan hari raya Aidilfitri.

Tambah Musa, pegawai dan anggota yang bertugas sewaktu perayaan kelak akan turut mendapat cuti setelah rakan mereka kembali bertugas.

“Bila yang telah dibenarkan cuti pulang semula, maka yang lain pula akan bercuti. Ini yang di namakan cuti bergilir-gilir,” katanya.

Tiada ulasan: