BERNAMA
TAWAU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diminta menjelaskan dakwaan sebuah parti pembangkang kononnya ada usaha daripada jabatan itu mendaftar pendatang tanpa izin (Pati) sebagai warga negara di Kalabakan.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata, penjelasan dan siasatan itu perlu memandangkan beliau sendiri ada menerima aduan kononnya usaha pendaftaran berkenaan dibuat di Kampung Kalabakan Tengah bulan lalu.
Menurutnya, dakwaan itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk dan masyarakat tempatan kerana ia melibatkan pemberian kewarganegaraan kepada penduduk asing yang tidak berkelayakan.
“Kita harap dakwaan ini dapat disahkan kebenarannya pihak yang bertanggungjawab dan Ketua Kampung yang dikatakan terlibat dalam perkara ini juga perlu dipanggil untuk disiasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat Sabah, Datuk Kong Hong Ming yang mendakwa wujudnya usaha mendaftarkan Pati di Kampung Kalabakan Tengah bagi mendapatkan MyKad, seperti yang disiarkan oleh akhbar tempatan, baru-baru ini.
Dalam kenyataan itu, Hong Ming mendakwa ramai Pati dari luar dibawa ke kampung itu menggunakan bas dan teksi untuk mendaftar dalam operasi yang didakwanya dijalankan kakitangan JPN Tawau dan Kota Kinabalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan