Halaman

Sabtu, 5 September 2009

Lelaki teman isteri sarapan tak berpuasa 10 tahun

BERITA HARIAN ONLINE


KANGAR: Seorang lelaki yang ditahan kerana tidak berpuasa di kedai makan Cina di pekan ini, pagi semalam mengaku sudah hampir 10 tahun tidak menunaikan rukun Islam ketiga itu.

Pengakuan itu dibuat lelaki terbabit, 24, kepada salah seorang pegawai di Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (Jaips) ketika dia disoal siasat selepas ditahan dalam satu Operasi Bersepadu Khas dijalankan jabatan berkenaan, di sekitar pekan ini pagi semalam.

Berdasarkan maklumat, lelaki terbabit yang berasal dari Titi Beratap, dekat Simpang Empat, di sini, mengaku tidak pernah berpuasa dan kali terakhir berbuat demikian ketika berusia di bawah 15 tahun.

Malah, ketika ditahan lelaki terbabit mendakwa tidak berpuasa semata-mata kerana menemani isterinya, 25, seorang warga Thai bersarapan di kedai berkenaan, selepas berada dalam pantang akibat datang bulan.

"Saya kerja di bendang dan seingat saya, sejak berumur 15 tahun saya tidak pernah berpuasa. Hari ini, saya tidak berpuasa sebab menemani isteri saya makan," katanya kepada pegawai berkenaan.

Difahamkan, lelaki terbabit ditahan penguat kuasa Jaips kira-kira jam 9.30 pagi. Ketika itu, dia sedang asyik menikmati minuman bersama isterinya di kedai makan berkenaan, sementara menunggu makanan yang dipesan dihidangkan.

Selain pasangan suami isteri itu, terdapat lima hingga enam pelanggan beragama Islam lain di dalam premis berkenaan, bagaimanapun mereka sempat melarikan diri ketika anggota penguat kuasa tiba.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Pendakwaan) Jaips, Mustafa Kamal Mohd Taib, berkata lelaki terbabit semalam dihadapkan ke Mahkamah Syariah, di sini, atas tuduhan mengikut Seksyen 21(2) Enakmen Jenayah Dalam Syariah 1991.

Beliau yang juga Ketua Pendakwa Syarie Perlis, berkata lelaki itu yang mengaku bersalah kemudian diarah membayar denda RM450 dan jika gagal, dia bakal berdepan tindakan penjara 30 hari. Bagaimanapun, isterinya tidak didakwa.

"Kita harap tindakan ini dapat memberi pengajaran terutama kepada para peniaga yang masih berdegil dan tetap menjual makanan kepada orang Islam sebelum jam 2 petang di bulan ramadan.

"Malah, Jaips sendiri tidak akan teragak-agak menggunakan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 21(1) Enakmen Jenayah Dalam Syariah 1991 terhadap peniaga terbabit, manakala Seksyen 21(2) kepada umat Islam yang dikesan tidak berpuasa," katanya.

Difahamkan, Jaips kini mendakwa tujuh individu mengikut Enakmen Jenayah Dalam Syariah 1991 di Perlis sejak awal Ramadan lalu. Ia membabitkan dua peniaga, manakala selebihnya adalah pelanggan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.