Oleh Ravale Savarinathan
TELUK INTAN: Seramai 6,804 remaja yang ingkar arahan atau gagal melaporkan diri sebagai pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebelum ini akan dipanggil semula serta diwajibkan mengikuti program itu mulai tahun depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua mereka yang dikategorikan sebagai ‘No Further Action’ atau tiada tindakan susulan oleh Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) perlu mengikuti PLKN selepas mendapati ia bersesuaian dengan nasihat Jabatan Peguam Negara.
“Ini adalah peluang kedua kepada mereka yang ingkar arahan kerajaan sebelum ini. Kerajaan amat prihatin dan sedar bahawa mana-mana remaja yang ingkar arahan menjalani PLKN tidak seharusnya dibebankan dengan hukuman penjara atau denda sebaliknya harus diberi peluang untuk berubah fikiran dan menyahut seruan murni kerajaan Malaysia,” katanya.
Ahmad Zahid bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan PLKN siri 6/2009 di Kem Nilam Ehsan, Bidor, dekat sini, pagi semalam.
Seramai 86,969 pelatih PLKN di seluruh negara mengikuti latihan bermula dari kumpulan satu sehingga tamat kumpulan tiga bagi siri 6/2009 semalam. Sebanyak 83 kem di seluruh negara menjalankan majlis penutupan rasmi PLKN semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Kuning, Datuk Samsuddin Abu Hassan.
Ahmad Zahid berkata, remaja yang masih berdegil boleh dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat selama tidak melebihi 240 jam iaitu pindaan pada Akta Latihan Khidmat Negara 203 (Akta 628), jika sabit kesalahan.
“Mereka yang ingkar arahan boleh dilabelkan sebagai ‘pondan’ dan pengecut dan seharusnya berasa malu ketika berdepan dengan rakan sebaya mereka yang berjaya menjalani PLKN. Mereka juga harus malu di hadapan ibu-bapa masing-masing.
“Mereka ini sebenarnya melepaskan satu peluang yang hanya datang sekali seumur hidup. Permintaan mereka ini tidak akan dilayan di masa hadapan sekiranya mereka mahu kembali menjalani PLKN,” katanya.
Sementara itu, Zahid berkata, kerajaan belum berhasrat menghantar pasukan perubatan atau bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk misi kemanusiaan gempa bumi di Indonesia khususnya di daerah Tasikmalaya kerana tidak ada permintaan daripada negara itu.
“Sememangnya pasukan ATM sentiasa bersedia untuk dikerah ke Indonesia tetapi kerajaan negara itu tidak memerlukan kita kali ini. Bagaimanapun, pasukan ATM kita bersedia bila-bila masa sekiranya di perlukan,” katanya.
Katanya, sebelum ini ATM pernah menghantar pasukan untuk bantuan kemanusiaan di Aceh ketika negara itu dilanda tsunami dan gempa bumi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.