UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Penunggang dan pembonceng motosikal yang balik kampung pada Hari Raya Aidilfitri ini dinasihatkan supaya memulakan perjalanan mereka pada waktu siang kerana risiko kemalangan pada waktu malam adalah lebih tinggi.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, ini kerana pada waktu malam penunggang motosikal sukar dilihat dari arah belakang oleh pemandu kenderaan lain.
''Sebanyak 60 peratus kemalangan maut di Jalan Persekutuan dan jalan negeri membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan 70 peratus daripadanya berpunca daripada memandu laju,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan serta menunjukkan cara pemakaian topi keledar yang betul dan mengedarkan pelekat pantul cahaya kepada penunggang motosikal di hadapan Pangsapuri Vista Angkasa, Jalan Kerinchi sini hari ini.
Sebanyak 50 topi keledar diedarkan JKJR secara percuma dalam tempoh dua jam kepada penunggang dan pembonceng motosikal di hadapan pangsapuri itu.
Suret memberitahu, pengagihan topi keledar dan pelekat berkenaan menerusi Kempen Advokasi Jalan Raya akan dilaksanakan di kawasan berkenaan selama seminggu.
"Tujuan kempen ini adalah untuk menyedarkan para penunggang dan pembonceng motosikal supaya meningkatkan penggunaan topi keledar semasa di jalan raya dan memakainya dengan cara yang betul.
"Walaupun penggunaan topi keledar di kawasan Lembah Klang kini telah berjaya ditingkatkan, namun kadarnya di seluruh negara masih tidak memuaskan. Maka, program ini perlu dijalankan secara berterusan," ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan kempen tersebut di lima kawasan yang kadar penggunaan topi keledar di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal agak rendah.
Sebanyak 135,000 topi keledar yang ditaja oleh pihak swasta akan diedarkan secara percuma kepada golongan itu menerusi kempen berkenaan di seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan