HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 September 2009

Tabung Haji tidak batal calon jemaah haji

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak akan membatalkan mana-mana calon jemaah haji yang telah mendaftar untuk menunaikan ibadah tersebut pada tahun ini walaupun dunia sedang diancam wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Pengerusinya, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor berkata, proses penghantaran jemaah haji akan dilakukan seperti biasa mengikut jadual yang ditetapkan sebelum ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang arahan daripada kerajaan Arab Saudi untuk menghalang jemaah ke sana walaupun sebelum ini Kementerian Kesihatan negara itu mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan mereka yang berusia 65 tahun ke atas dan kanak-kanak bawah 12 tahun untuk mengerjakan ibadah haji ekoran wabak itu.

''Tabung Haji tidak menerima apa-apa arahan sehingga hari ini, oleh itu persiapan mereka yang telah mendaftar tahun ini tidak terjejas atau berhadapan dengan sebarang masalah.

''Jemaah haji akan berangkat menunaikan ibadah ini mengikut jadual yang ditetapkan sebelum ini," katanya ketika berucap pada Program Ihya Ramadan Tabung Haji peringkat negeri di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Abdul Rashid Hussein dan Pengarah Tabung Haji Negeri, Abu Bakar Yusof.

Abi Musa Asa'ari berkata, sekiranya ada arahan terbaru dari kerajaan negara itu, pihaknya akan akur dengan semua perubahan tersebut.

''Kita akan segera menyampaikan kepada pihak-pihak yang terbabit sekiranya ada arahan terbaru tetapi dalam masa yang sama berharap penularan influenza A H1N1 tidak memberi kesan terhadap jemaah tahun ini.

''Sama-sama kita berdoa semoga semua bakal jemaah haji dapat menyempurnakan ibadah sebaik-baiknya dan dinasihatkan mereka mengutamakan faktor kesihatan dengan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang masa," katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, beliau menyampaikan sumbangan kepada 276 penerima yang terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal serta wakil institusi pengajian untuk diagihkan-agihkan kepada pelajar-pelajar yang layak di sekitar Kota Bharu.

Tiada ulasan: