BERITA HARIAN ONLINE
KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, kesal terhadap sikap degil segelintir mangsa banjir di negeri ini yang enggan berpindah dan mengingkari arahan pihak berkuasa walaupun rumah mereka ditenggelami banjir dan membahayakan nyawa.
Berikutan itu, beliau mengingatkan, pegawai dan anggotanya di seluruh negeri akan mengambil tindakan tegas bagi memaksa mereka berpindah ke pusat pemindahan jika penilaian yang dilakukan mendapati keadaan rumah sudah tidak selamat diduduki.
“Saya kesal apabila dimaklumkan ada mangsa yang rumah mereka ditenggelami banjir tetapi enggan berpindah seperti diarahkan pihak berkuasa. Kalau penilaian kami mendapati mereka perlu dipindahkan, maka ikutlah arahan dan jangan berdegil.
“Menjadi kesalahan bagi pihak polis jika tidak menyelamatkan mangsa banjir selepas penilaian mendapati mereka perlu dipindahkan. Menjadi tanggungjawab kita melakukan kerja menyelamat.
“Sehubungan itu, kalau ada mangsa yang degil dan enggan berpindah apabila diarahkan, kita tetap akan bawa dan paksa mereka supaya pindah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas keengganan segelintir mangsa banjir mengikut arahan supaya berpindah dengan alasan keadaan banjir di kawasan mereka tidak buruk atau mereka sudah biasa berdepan banjir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.