Pengisian dimantapkan bagi menarik lebih ramai penyertaan generasi muda
Oleh Mohd Roji Abdullah dan Umi Nadirah Abdul Rahman
KLUANG: Modul latihan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kini diubah bagi memantapkan lagi usaha menarik lebih ramai generasi muda untuk menyertai dua agensi itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pengubahsuaian itu dilakukan berikutan pengisian modul latihan sedia ada kurang menarik minat generasi muda sehingga menyukarkan usaha untuk menambah keahlian JPAM dan Rela.
Beliau berkata, pengubahsuaian modul latihan itu perlu dibuat berdasarkan kehendak serta cita rasa generasi muda supaya mencapai matlamat untuk pembesaran dua agensi terbabit.
"Modul latihan yang ada sekarang dikenal pasti kurang menarik sehingga menyebabkan usaha kita untuk menarik penyertaan generasi muda menyertai dua agensi itu agak sukar.
"Sekarang kita sudah melaksanakan pengubahsuaian di sesetengah tempat yang mengenal pasti pendekatan sesuai serta memenuhi cita rasa generasi muda," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Perhimpunan Belia Parlimen Sembrong di Taman Sri Lambak, di sini, semalam.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah; Ketua Pengarah JPAM, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang, R Vidyananthan serta Adun Paloh yang juga Exco kerajaan negeri, Hoo Seong Chang.
Lebih 5,000 belia daripada pelbagai persatuan menyertai perhimpunan yang julung kali diadakan di kawasan Parlimen Sembrong itu.
Sementara itu, beliau berkata, sembilan juta generasi muda di negara ini dikenal pasti masih belum menyertai mana-mana persatuan.
Sehubungan itu, beliau menggesa persatuan terbabit untuk mencari pendekatan sesuai dan relevan untuk menarik minat mereka sekali gus membantu mencapai matlamat menambah keahlian.
"Sekarang ini difahamkan hanya dua juga golongan muda terbabit secara serius dalam persatuan sukarela dan usaha perlu digandakan untuk menarik sejumlah besar lagi yang belum menyertai mana-mana persatuan.
"Penyertaan mereka dalam persatuan akan membantu mencapai matlamat kita untuk menyatukan generasi muda, kerana keadaan politik ketika ini tidak mampu ke arah itu, begitu juga dengan pendidikan yang sedikit dipolemikkan," katanya.
Beliau berkata, selain Kementerian Dalam Negeri dan beberapa kementerian yang berkaitan merangka program untuk menarik penyertaan generasi muda dalam persatuan dan dijangka diumumkan dalam tempoh enam bulan lagi.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, kementerian sudah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berikutan penyelesaian beberapa isu seperti permit kemasukan pekerja asing, sijil lahir dan permohonan taraf kenegaraan yang tertunggak sudah diselesaikan dua bulan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan. Ini termasuk permohonan kenegaraan lebih 32,000 pemohon yang diselesaikan pada Oktober lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.