KLPOS.COM
Amerika Syarikat melihat Malaysia sebagai rakan amat penting dalam usaha memperkukuh program mencegah perluasan senjata, kata Penasihat Khas Jabatan Negara bagi Non-proliferasi dan Kawalan Senjata, Robert J.Einhorn.
"Ini penting (kerana) sekiranya trend membimbangkan sekarang berterusan, kita akan dapati diri kita bersama banyak kuasa nuklear di dunia," katanya dalam temuramah dengan Bernama di sini Rabu.
Oleh itu, katanya, kemungkinan pengganas memiliki senjata nuklear adalah lebih besar.
Einhorn mengetuai delegasi pelbagai agensi dalam lawatan dua hari ke Malaysia untuk berbincang dengan pegawai-pegawai kanan Malaysia mengenai isu mencegah perluasan dan perlucutan senjata.
Ditanya mengenai peranan Malaysia beliau berkata: "Cuba kita lihat isu Iran, pentadbiran Obama amat yakin dengan cara mengadakan rundingan".
Beliau berkata AS punya perbezaan pendapat yang serius dengan kerajaan Iran tetapi percaya perbezaan ini boleh ditangani dengan berkesan menerusi diplomasi.
"Kami melibatkan Iran dalam konteks sedemikian tetapi kami juga faham bahawa negara-negara lain di dunia punya hubungan baik dengan Iran.
"Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Iran. Menteri Luar Iran berada di sini di Malaysia beberapa hari lalu.
"AS mahu Malaysia menggunakan jasa baik dan hubungannya dengan Iran untuk menyampaikan mesej bahawa pentadbiran Obama serius mahu mengadakan rundingan dan kami mahu mengadakan pentas bersama dengan Iran".
Beliau berkata ini khususnya penting kerana Malaysia amat berpengaruh dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Asean dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.