Halaman

Isnin, 2 November 2009

Peraturan baru dikhuatiri 'bunuh' minat terhadap kereta antik

UTUSAN ONLINE


BUTTERWORTH - Keputusan kerajaan mewajibkan kenderaan berusia 15 tahun ke atas menjalani pemeriksaan tahunan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dikhuatiri 'membunuh' minat orang ramai terhadap kereta lama dan antik.

Kelab Pemilik Volkswagen Pulau Pinang (PVOC) membantah peraturan itu kerana ia akan membebankan pemilik kereta lama yang rata-ratanya golongan berpendapatan rendah.

Penasihatnya, Alham Yusoff berkata, pemilik kenderaan lama sudah berdepan pelbagai masalah dan kerenah birokrasi termasuk keengganan syarikat insurans menawarkan perlindungan.

Beliau berkata, kereta klasik seperti Volkswagen merupakan kereta yang sudah dibaiki semula dan diberi 'nyawa' baru oleh pemiliknya bagi membolehkan ia selamat berada di jalan raya.

''Sekiranya tiada insurans, bagaimana kami hendak mendapatkan cukai jalan seperti diwajibkan kepada semua pemilik kenderaan?

''Kami melihat dasar baru (mewajibkan pemeriksaan tahunan) ini akan memberi satu lagi beban yang dikhuatiri membunuh terus minat orang ramai terhadap kereta lama,'' katanya pada sidang akhbar yang turut disertai lebih 20 ahli PVOC di sini hari ini.

Dalam Bajet 2010 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan mulai 1 Januari tahun depan, semua kenderaan penumpang berusia 15 tahun ke atas wajib membuat pemeriksaan tahunan di Puspakom sebagai syarat memperbaharui cukai jalan.

Ia sebahagian langkah baru yang diperkenalkan di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) bagi meningkatkan daya saing industri automotif tempatan serta menawarkan kenderaan yang lebih selamat.

Alham berkata, kebanyakan kereta klasik jenis Volkswagen berusia melebihi 35 tahun dan terdapat kira-kira 5,000 kereta jenis itu di negara ini dengan 2,000 daripadanya berdaftar sebagai ahli Kelab Pemilik Volkswagen di seluruh negara.

Menurutnya, pelbagai masalah akan timbul sekiranya dasar baru itu dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan jumlah cawangan Puspakom sedia ada tidak mencukupi.

''Sekarang ini pun, sudah menjadi lumrah melihat deretan kenderaan membuat pemeriksaan di Puspakom dan masalah ini pasti menjadi lebih buruk jika dasar baru ini dilaksanakan dalam masa terdekat.

''Malah mereka (pemilik kenderaan) yang bekerja sepenuh masa juga terpaksa mengambil cuti sekurang-kurangnya dua hari semata-mata untuk membuat pemeriksaan kenderaan dan memperbaharui lesen,'' jelasnya.

Sehubungan itu kata Alham, kerajaan perlu memikirkan kaedah penyelesaian terbaik kepada masalah yang bakal timbul sekiranya masih ingin meneruskan penguatkuasaan pemeriksaan wajib setiap tahun.

''Antara kaedah tersebut adalah menambah cawangan Puspakom selain memberi permit kepada pihak lain untuk menjalankan pemeriksaan seperti dilakukan Puspakom sebelum ini,'' tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.