UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm) hari ini mengaku menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi membantah sebarang cadangan melantik bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Presidennya, Mohamad Isa Abd. Ralip berkata, tindakan itu diambil bagi menjaga kepentingan seluruh umat Islam di negara ini.
''Pihak berkuasa dan tokoh-tokoh agama serta pertubuhan arus perdana sudah lama tidak mempersetujui pendekatan Asri yang banyak menimbulkan keraguan,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, antara keraguan tersebut adalah seperti dalam isu pencegahan khalwat oleh pihak berkuasa agama, isu penggunaan kalimah Allah, isu amalan furu' yang dikatakan bidaah di kalangan umat Islam dan banyak lagi.
''Kami bersedia pada bila-bila masa untuk bersemuka dengan beliau secara peribadi atas permintaannya agar dikemukakan bukti terhadap kenyataan kami.
''Kami berpendirian ini merupakan isu dalaman dan tidak wajar dibahas atau disensasikan secara terbuka,'' tegasnya.
Sidang akhbar itu diadakan sebagai reaksi terhadap kenyataan Asri semalam yang mendakwa Pgsm memfitnahnya dalam satu memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
Menurut Asri, antara tuduhan fitnah dalam memorandum bertarikh 12 Oktober lalu yang dimuatkan di laman web Pgsm adalah mendakwa beliau tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah dan keluar daripada mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali serta menolak hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
Mohamad Isa berkata, Asri tidak sesuai untuk memegang jawatan Yang Dipertua Yadim atau jawatan-jawatan seumpamanya.
''Tindakan kami menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong adalah atas niat agar kesepaduan umat Islam di negara ini tidak dimusnahkan oleh pendekatan yang tidak mengikut arus perdana.
''Pihak kami juga tidak mahu timbulnya suasana kacau-bilau dalam amalan beragama di negara ini,'' jelasnya.
Pgsm juga katanya, kesal dengan tindakan Asri mengadakan sidang akhbar berhubung memorandum bantahan pelantikannya sebagai Yang Dipertua Yadim itu.
''Pihak kami kesal dengan tindakan beliau yang membesar-besarkan isu dan mencari publisiti terhadap satu perkara yang merupakan hak mutlak Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan kerajaan,'' katanya.
Menurut Mohamad Isa, Pgsm juga kecewa dengan sikap Asri yang sanggup mengheret masyarakat umum ke dalam persoalan membabitkan isu pentadbiran agama negara yang harus diselesaikan secara tertutup.
''Pihak kami juga musykil dengan beberapa dakwaan Asri yang mendakwa beliau menolak tawaran sebagai Yang Dipertua Yadim sedangkan belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada pihak yang berkenaan dalam hal tersebut,'' tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.