Halaman

Selasa, 3 November 2009

Tiada peraturan kosongkan kerusi: Dr Mahathir

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Tidak ada peraturan yang memaksa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, mengosongkan kerusinya itu walaupun mengisytiharkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat Bebas, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata, walaupun pemilihannya sebagai adun dibuat atas tiket PKR, Badrul Hisham mempunyai hak mengekalkan kerusi itu walaupun menjadi wakil rakyat Bebas.

“Badrul Hisham boleh kekal sebagai Adun kerana tidak ada peraturan mengatakan beliau perlu mengosongkan kerusi jika memu-tuskan untuk keluar parti (PKR).

“Ini adalah hak beliau dan kedua-dua perkara ini berbeza (keluar parti dan kosongkan kerusi) walaupun pemilihannya dibuat kerana atas dasar sokongannya kepada PKR dan jika tidak menyokong PKR, beliau mungkin kalah,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Badrul Hisham mengisytiharkan dirinya keluar PKR berkuat kuasa 29 Oktober lalu dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN) selepas hilang keyakinan terhadap kepemimpinan parti berkenaan.

Dengan keputusan Badrul Hisham menjadi wakil rakyat Bebas, parti pembangkang yang memerintah Selangor kini mempunyai 35 kerusi manakala BN 20 kerusi. Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ditanya sama ada Umno boleh menerima Badrul Hisham yang memutuskan untuk menyokong BN, Dr Mahathir berkata, cadangan itu baik jika Umno hendak menambah jumlah Adunnya di Selangor.

“Kita tidak tahu sama ada Umno boleh menerima beliau atau tidak kerana jika gagal ia mungkin berpunca daripada kebodohan parti yang memilih beliau.

“Lagipun, Umno bukan hendak melantik beliau sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri,” katanya.

Mengulas cadangan Wanita MCA yang mahu pemilihan semula kepemimpinan parti diadakan, katanya, tindakan itu mungkin akan menyebabkan perpecahan dalam MCA bertambah serius.

“Pemilihan semula mungkin menjadikan MCA lebih berpecah kerana mereka yang kalah mungkin tidak berpuas hati dan akhirnya parti akan menjadi bertambah lemah.

“Masalahnya sekarang kebanyakan mereka yang menjadi ahli parti bukan saja MCA, tetapi MIC dan Umno meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan parti dan menjadikan parti sebagai kuda tunggangan untuk menjadi pemimpin.

“Keadaan inilah yang menyebabkan berlakunya perpecahan dalam parti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.