Halaman

Khamis, 3 Disember 2009

Ambil kira perasaan rakyat - Dr. Mahathir

UTUSAN ONLINE


Dr. Mahathir Mohamad diberi penerangan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Satang Holdings Berhad, Malim Mohamed mengenai 'Seabob Black Shadow 730' semasa kunjungannya ke LIMA 2009 di Langkawi, semalam.

LANGKAWI 2 Dis. - Ambil kira suara hati rakyat negara ini sebelum membuat keputusan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, perasaan rakyat harus dijaga sama ada mereka setuju atau sebaliknya untuk membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu menjejaki negara ini semula.

Menurutnya, beliau sendiri akan menuruti keputusan orang ramai berhubung isu berkenaan.

"Kalau orang suka tiada masalah, tetapi kalau orang tak suka macam mana nak buat," katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini hari ini.

Isu Chin Peng yang sudah dianggap selesai timbul semula apabila dia dilaporkan mahu pulang ke negara ini dan menyatakan hasratnya untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membolehkannya kembali ke negara ini.

Kerajaan sebelum ini bertegas dan tidak berganjak daripada keputusan tidak membenarkan bekas Setiausaha Agung PKM itu pulang ke negara ini.

Malah hasrat kepulangannya dibantah keras banyak pihak khususnya oleh bekas anggota tentera yang pernah menderita ketika berdepan dengan kekejaman komunis dahulu.

Ditanya sama ada Chin Peng berhak kembali ke Malaysia sekurang-kurangnya secara lawatan sosial di bawah Perjanjian Damai Haadyai, Dr. Mahathir berkata, perkara tersebut perlu diperjelaskan kepada masyarakat bagi mengelakkan kekeliruan.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, orang ramai perlu faham mengenai perjanjian berkenaan bagi membolehkan mereka menilai sendiri perkara tersebut.

"Kerajaan kena jelaskan kepada orang ramai dahulu, kata dah janji. Kalau semua orang bersetuju saya pun setuju, saya tunggu orang ramai," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.