Halaman

Khamis, 3 Disember 2009

KL semakin panas, Dhaka kian tenggelam

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Bandar-bandar besar di Asia Tenggara kini diancam pemanasan global dengan Kuala Lumpur turut menyaksikan peningkatan suhu antara 0.5 dan 1.5 darjah celsius sejak 1950-an.

Ekoran fenomena itu, kekerapan kejadian kemarau juga telah meningkat di Malaysia terutama di Sabah.

Laporan daripada Kajian Tekanan Mega Untuk Bandar Mega oleh Tabung Hidupan Liar (WWF) turut memberitahu bahawa tujuh peratus penduduk Malaysia akan terjejas ekoran peningkatan aras laut.

Malah ia akan turut memberi kesan sebanyak enam peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

''Peningkatan aras laut, hakisan kawasan persisiran pantai dan kemusnahan kawasan paya bakau telah menjejaskan sektor pertanian di Malaysia sejak tiga dekad yang lalu,'' kata laporan itu yang dipetik melalui laman web http://assets.panda.org/down loads/mega_cities_report.pdf

Kajian itu menunjukkan cuaca di ibu negara bertambah panas dengan semakin banyak hari panas dicatatkan berbanding jumlah hari hujan yang semakin menurun.

''Jumlah siang dan malam yang panas bertambah manakala siang dan malam yang sejuk menurun dalam tempoh 1961 hingga 1998,'' kata laporan itu.

Kajian terbaru itu bagaimanapun melaporkan fenomena ribut petir yang lebih intensif di Kuala Lumpur dan keadaan itu dijangka bertambah teruk selari dengan perubahan cuaca dunia.

''Banjir kilat di Kuala Lumpur meningkat dan membawa kemusnahan dari segi tanah runtuh dan kerugian harta benda,'' ujar laporan itu lagi.

Laporan tersebut turut menarik perhatian bahawa perubahan cuaca di Kuala Lumpur memberi implikasi paling besar kepada penduduk bandar yang miskin kerana mereka tidak mempunyai kapasiti untuk menghadapi peningkatan suhu dan cuaca yang tidak menentu.

Di samping itu, ia juga mampu membawa peningkatan kepada penyakit tertentu yang berkaitan dengan cuaca.

Bimbang tentang kemungkinan berlaku krisis air di negara ini, laporan itu mencadangkan usaha bersungguh-sungguh untuk melindungi sumber air minuman dan memanfaatkan air hujan.

Laporan sama memberi amaran bahawa Bangkok yang menerima gelaran Venice Timur semakin diancam risiko banjir.

Laporan itu turut menyenaraikan Dhaka, Manila dan Jakarta berada di tangga teratas dalam risiko ancaman perubahan cuaca.

l Lihat carta tahap pendedahan kepada perubahan cuaca (10 menunjukkan paling terdedah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.