BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu mewujudkan satu sistem khas bagi memantau anggota tentera yang menjalani kursus peralihan enam bulan sebagai persediaan sebelum bersara, tidak menyeleweng kursus berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk T Murugiah, berkata ramai anggota tentera dikesan melakukan penipuan dengan mendapatkan cop premis perniagaan setiap hari bagi membuktikan sudah menjalani kursus tetapi sebenarnya hanya berehat dengan gaji dibayar dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kemahiran berniaga yang sepatutnya dimiliki anggota tentera sebagai bekalan ketika bersara, gagal diperoleh menyebabkan kebanyakannya menganggur atau bekerja sebagai pengawal keselamatan selepas menamatkan perkhidmatan.
“Kursus peralihan selama enam bulan bagi memberi peluang anggota tentera menyiapkan diri sebelum bersara tetapi malangnya, matlamat itu gagal dicapai kerana ia dilaksanakan tanpa pemantauan rapi sehingga ada ruang untuk penipuan.
“Saya bercakap melalui pengalaman kerana saya sendiri bekas tentera. Ramai anggota yang menyalahgunakan peluang menjalani kursus selama enam bulan itu, menyebabkan mereka gagal menimba ilmu.
“ATM pula menganggap mereka ini sudah menjalani kursus, ada kepakaran dan sudah bersedia berdikari membuka perniagaan dan membenarkan mereka bersara dengan memberi imbuhan sepatutnya,” katanya selepas merasmikan pembukaan kedai emas, Mejor Golden Art (MGA) di Wisma Rampai di sini semalam.
Pemilik MGA, M Sures adalah pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan produk dihasilkannya turut dieksport keluar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan