UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan yang digantung daripada parti itu Jun lalu, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar daripada Gerakan.
Beliau turut membayangkan akan menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM).
Katanya, tindakan itu diambil kerana beliau menjangkakan dipecat daripada parti walaupun masih menunggu keputusan permohonan agar penggantungannya ditarik balik.
''Sebelum ini saya memberi kata dua kepada pemimpin Gerakan supaya menarik balik penggantungan saya dan sekiranya mereka enggan dalam masa dua minggu, saya akan meletak jawatan.
''Bagaimanapun, saya mendengar ura-ura akan dipecat daripada Gerakan. Jadi sebelum mereka pecat saya, lebih elok saya pecat mereka," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Jelasnya, beliau telah bertemu Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow semalam bagi menyuarakan hasrat itu dan beliau menerimanya.
Cheng Guan sebelum ini digantung tiga tahun daripada parti bermula 29 Jun lalu kerana tidak sependapat dengan para pemimpin Gerakan berhubung kekalahan parti itu di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lalu.
Sementara itu Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini enggan mengulas tindakan Cheng Guan meninggalkan parti berkenaan.
''Ia tidak mengejutkan, saya cuma ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan PCM (sekiranya menerima Cheng Guan)," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan