Menteri Penerangan pertahan siri TV realiti papar kemesraan suami isteri
Oleh Sariha Mohd Ali, Syuhada Choo Abdullah dan Zanariah Abd Mutalib
KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berpendapat rancangan Sehati Berdansa yang memaparkan kemesraan pasangan suami isteri dalam tarian boleh diterima oleh masyarakat di negara ini, berbanding adegan bercium di khalayak ramai.
"Dalam tapisan dijalankan oleh semua badan penyiar, beberapa etika ditentukan dan salah satu daripadanya ialah perkataan tidak menyalahi budaya tempatan.
"Dalam keadaan demikian, jika berseronok dengan isteri dalam khalayak ramai, berpegang sedikit secara mesra, saya fikir tidak salah.
"Kita memberi satu gambaran manifestasi kemesraan kita kepada masyarakat atau diri kita sendiri," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mojilip Bumburing @ Wilfred (BN-Tuaran) berhubung kesan program realiti itu.
Bagaimanapun, jika tetap mencolok mata, Rais berkata, kementerian akan mengambil pandangan itu sebagai asas pertimbangan dalam tema rancangan pada tahun baru kelak.
Terdahulu, menjawab soalan Ab Aziz Ab Kadir (PKR-Ketereh), Rais berkata, RTM selaku media rasmi kerajaan bukan hanya berfungsi sebagai medium menyebarkan berita dan maklumat kepada rakyat.
Sebaliknya, RTM turut memupuk dan menerapkan sikap, peribadi, pemikiran serta nilai murni kepada masyarakat melalui penerbitan dan juga penyiaran rancangan radio dan televisyen.
"Dalam penjadualan rancangan, RTM memperuntukkan 30 peratus masa siaran bagi menyalurkan maklumat dan dasar kerajaan, manakala 70 peratus dimuatkan rancangan hiburan, berinformasi dan rancangan berkonsepkan pembentukan negara bangsa.
"RTM juga memperhebat usaha untuk memastikan rakyat memahami, menghayati serta mengamalkan gagasan 1Malaysia yang diutarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk menyiarkan kapsul, lagu, berita dan dokumentari," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan